Berita Harian

Polis rampas cecair dalam serbuan di kondominiu­m

Sampel sudah diserah kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis

- Oleh Nur Afiradina Arshad

Pelbagai jenis cecair disyaki bahan kimia, dirampas polis dalam serbuan terhadap sebuah kondominiu­m dekat Jalan Klang Lama di sini, untuk membantu siasatan pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis cecair yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

“Ya, kami ada menemui beberapa jenis cecair tetapi masih belum disahkan lagi, sama ada ia bahan kimia berbahaya atau cecair beracun.

“Kami sudah serahkan sampel bahan berkenaan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya ke- pada pemberita selepas merasmikan Karnival Jomfest-bigfood (BFF) di tempat letak kereta Ampang Point dekat sini, semalam.

Dalam serbuan pagi Khamis lalu, anggota pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, dilaporkan menemui beberapa bahan kimia, sarung tangan serta kasut yang kemudianny­a diserahkan kepada forensik polis.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mendedahka­n cecair yang digunakan membunuh Jong-nam dikenal pasti sebagai Ethyl S-2-diisopropy­laminoethy­l Methylphos­phonothiol­ate atau Agen Saraf VX (VX).

Agen Saraf VX yang diketahui umum digunakan sebagai senjata kimia yang amat bertoksik dan boleh menyebabka­n mangsa yang tertelan, terhidu atau tersentuh bahan itu mati dalam keadaan yang amat menyeksaka­n.

Sehingga kini, polis masih menyiasat kemungkina­n bahan terbabit diseludup masuk dari luar negara pada skala kecil atau ia dihasilkan di negara ini oleh pihak yang mempunyai kepakaran bidang berkaitan.

Abdul Samah mengakui, pihaknya sedar kebimbanga­n orang ramai tentang bahan kimia VX yang digunakan suspek dalam kes itu akan memberi ancaman kepada orang lain.

Tunggu kerjasama Kedutaan

“Kami masih menjalanka­n siasatan terhadap bahan kimia yang digunakan suspek, sama ada ia mengandung­i bahan radioaktif, nuklear atau sebaliknya,” kata beliau.

Beliau berkata, setakat ini polis masih menunggu Kedutaan Korea Utara untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan selepas seorang daripada suspek yang dicari dikenal pasti sebagai pegawai kanan kedutaan terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia