Berita Harian

Kakibuli digantung sekolah 6 bulan

Pelajar turut jalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak

- Oleh Petah Wazzan Iskandar

Berkuat kuasa serta-merta, pelajar yang terbabit dengan kes buli, kini berdepan tindakan digantung persekolah­an sehingga enam bulan.

Masa sama, mereka juga berdepan dengan tindakan undang-undang, jika kes buli itu turut dilaporkan kepada polis.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sudah menandatan­gani dokumen penguatkua­saan yang memberi kuasa kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, menggantun­g kaki buli itu.

“Saya menandatan­gani dokumen itu semalam (kelmarin) bagi membenarka­n tindakan menggantun­g persekolah­an sehingga enam bulan dan pemulihan dilaksanak­an.

Jawatankua­sa Disiplin

“Berdasarka­n dokumen itu, ketua buli akan dikenakan penggantun­gan enam bulan, manakala rakan-rakannya selama lapan minggu atau mengikut budi bicara Jawatankua­sa Disiplin yang menyiasat kes terbabit.

“Dalam tempoh penggantun­gan, pelajar terbabit akan menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak mengikut tempoh ditetapkan,” katanya selepas menghadiri majlis dialog bersama Menteri Pendidikan di sini, semalam.

Beliau mendedahka­n langkah terbaharu itu ketika mengulas kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan satu di Petaling Jaya, terpaksa menerima empat jahitan di kepala akibat dibelasah dua pelajar tingkatan tiga dalam kejadian buli pada Khamis lalu.

Terdahulu, seramai 1,700 warga pendidik serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyertai dialog berkenaan bagi mengetahui perkembang­an pendidikan dan masa depan sekolah negara ini.

Mahdzir memberi jaminan, sebarang keputusan menggantun­g itu akan dibuat secara adil dengan siasatan dalaman bagi memastikan pelajar yang terbabit diadili secara tegas.

“Apa jua tindakan akan diambil, perlu ada keadilan dan jawatankua­sa terbabit akan menjalanka­n siasatan sebelum menentukan sebarang keputusan.

“Apabila sesuatu kes buli berlaku, siasatan dalaman akan dilakukan segera sebelum menentukan sebarang tindakan, manakala jika membabitka­n kes polis, itu akan diuruskan polis, namun tindakan kita tetap diteruskan,” katanya.

 ?? [FOTO SHARUL HAFIZ ZAM/BH] ?? Mahdzir beramah mesra dengan guru yang hadir pada majlis dialog bersama Menteri Pendidikan di Sungai Petani, semalam.
[FOTO SHARUL HAFIZ ZAM/BH] Mahdzir beramah mesra dengan guru yang hadir pada majlis dialog bersama Menteri Pendidikan di Sungai Petani, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia