Berita Harian

SSTMI mara ke suku akhir

Juara bertahan gah belasah tiga pasukan

- Oleh Mohd Khairie Khalid khairie@bh.com.my Kuala Kangsar

Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor menepati ramalan apabila mara ke suku akhir Kejohanan Ragbi Premier 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (Premier 7's MCKK) selepas membelasah tiga pasukan serta merekodkan keputusan tanpa bolos pada aksi yang berlangsun­g di MCKK, semalam.

Pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A yang bermula jam 8.30 pagi, SSTMI Tsunami Juniors menundukka­n Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) 24-0.

Juara bertahan itu terus gah dengan menjadikan SMK King George V (KGV) sebagai mangsa kedua apabila meraih kemenangan 44-0 sebelum membaham Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) 29-0 pada sebelah petang sekali gus menjuarai saingan peringkat kumpulan.

Jurulatih SSTMI, Syed Shazril Syed Mahadir berkata walaupun anak buahnya berjaya menang dalam ketiga-tiga aksi tetapi dia masih tidak berpuas hati kerana anak buahnya sering memperlaha­nkan rentak apabila perlawanan memasuki separuh masa kedua.

Ambil mudah

“Saya dapati pemain beraksi agak perlahan di separuh masa kedua dalam ketiga-tiga perlawanan hari ini (semalam). Jadi esok (hari ini), saya akan memastikan kelemahan itu dapat diatasi.

“Peluang kami untuk mempertaha­nkan kejuaraan memang cerah namun saya tidak mahu pemain mengambil mudah dengan lawan, sebaliknya berusaha keras dalam setiap pertemuan untuk mara ke final,” kata kata Syed Shazril yang juga jurulatih pasukan Bawah 20 Tahun (B-20) Malaysia.

Selain SSTMI, pasukan lain yang turut mara ke suku akhir adalah juara 2013, MCKK, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing (SMSM), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), juara 2015 yang juga naib juara tahun lalu, Sekolah Sukan Hong Kong (HKSS), Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII), SMK Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) dan English College (EG).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia