Berita Harian

Jambatan baharu dikhuatiri tingkat konflik manusia, gajah

Laluan merentasi Sungai Kinabatang­an dibimbangi ganggu habitat hidupan liar

- Oleh Poliana Ronnie Sidom poliana@bh.com.my Sukau

Bina jambatan untuk kemudahan penduduk, tetapi bimbang pula laluan gajah dimusnahka­n, sekali gus meningkatk­an konflik di antara manusia dan haiwan liar terbabit.

Itulah dilema dihadapi penduduk, pihak berkuasa dan pelindung hidupan liar susulan cadangan pembinaan jambatan kedua Sukau untuk menghubung­kan kawasan itu dengan daerah lain di timur Sabah, yang dapat memendekka­n perjalanan penduduk ke Pekan Bukit Garam atau Sandakan.

Penduduk amat memerlukan jambatan berkenaan untuk kemudahan berulang-alik ke Pekan Bukit Garam atau Sandakan, bagi urusan seharian dan mendapatka­n rawatan di hospital.

Harungi perjalanan jauh

Ketika ini, 3,000 penduduk khususnya mukim Litang membabitka­n Kampung Litang, Sri Ganda, Tundun Bohangin, Dagat dan Tidong sukar dihubungi menerusi jalan darat, mahu jambatan itu dibina segera.

Mereka terpaksa ke Lahad Datu yang terletak hampir 100 kilometer (km) untuk ke hospital atau menghabisk­an masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam ke Pekan Bukit Garam atau Sandakan, untuk melakukan urusan pejabat.

Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung Litang, Hamsan Lahinta, 54, berkata beliau pernah berdepan detik getir apabila anaknya berusia tujuh tahun yang menghidap asma dan sukar bernafas pada waktu malam.

“Bayangkan saya terpaksa memandu dalam kegelapan malam selama empat jam ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatka­n rawatan.

“Penduduk terpaksa mengambil masa bukannya disebabkan jalan teruk, tetapi banyak pondok pengawal perlu dilalui kerana jalan dimiliki syarikat perladanga­n.

“Setiap kali melaluinya perlu meminta kebenaran pihak pengurusan ladang, lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana pondok kawalan dikunci. Pernah ada orang tua yang menghidap asma meninggal dunia di pondok pengawal kerana tidak sempat ke hospital.

Tingkat ekonomi penduduk

“Ramai juga murid berhenti sekolah setakat Tingkatan Satu atau Dua kerana kesukaran perhubunga­n. Begitu juga, sekiranya ada jenayah di kampung, polis cuma dapat sampai sehari selepas ia berlaku,” katanya.

Bagi Ketua Anak Negeri (KAN) Mukim Litang, Abdul Mad Said Abd Karim, bukan saja tempoh perjalanan dapat dikurangka­n jika jambatan dibina, malah penduduk yakin ia platform kepada mereka mengembang­kan ekonomi berbanding cuma bergantung pekerjaan sebagai nelayan atau petani.

Pembinaan jambatan dan laluan baharu yang bernilai RM73 juta itu mendapat bantahan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang ia mengganggu habitat gajah di kawasan terbabit.

NGO bantah bina jambatan

Kes gajah diracun atau ditembak apabila menceroboh tanaman penduduk, juga membimbang­kan NGO kerana projek jalan baharu itu akan memotong laluan gajah berhampira­n Kampung Sukau.

Ini dikhuatiri boleh menyebabka­n haiwan liar terbabit bertambah agresif dan berpotensi mendatangk­an kecederaan atau kematian terhadap manusia.

Pembinaan jambatan itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman ketika melancarka­n Pekan Baharu Sukau pada 2010 membabitka­n jambatan sepanjang 200 meter merentasi Sungai Kinabatang­an.

Ramai juga murid berhenti sekolah setakat Tingkatan Satu atau Dua kerana kesukaran perhubunga­n” Hamsan Lahinta, Pengerusi JKKK Kampung Litang

 ?? [FOTO POLIANA RONNIE SIDOM/BH] ?? Sebahagian kampung di Sukau yang cuma boleh dihubungi menerusi laluan Sungai Kinabatang­an.
[FOTO POLIANA RONNIE SIDOM/BH] Sebahagian kampung di Sukau yang cuma boleh dihubungi menerusi laluan Sungai Kinabatang­an.
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia