Berita Harian

Santai sekeluarga di Sydney

Kota pelabuhan terkemuka sentiasa gamit kedatangan pelawat

- Oleh Mohd Shukri Ismail bminggu@bh.com.my

Sejarah moden Australia bermula pada tahun 1770 apabila Lieutenant James Cook mendarat di Silver Beach di Semenanjun­g Kurnell di tebing sebelah selatan Teluk Botany, Sydney dalam negeri New South Wales.

James Cook atau lebih dikenali dengan gelaran Kapten Cook membuka penempatan pertama di situ pada 29 April tahun yang sama.

Sebenarnya pada masa itu, Kapten Cook sedang menyertai ekspedisi bersama Tentera Laut Diraja British yang ditugaskan untuk menjelajah laut selatan sebelum tiba di Sydney. Kota Sydney juga mula diasaskan pada tahun 1788 apabila armada British mula tiba dari England yang diketuai Kapten Arthur Philip. Beliau menamakan Sydney sempena nama Setiausaha Negara British pada masa itu, Lord Sydney.

Bagaimanap­un, sebelum itu, pada 13 Mei 1787 ada dicatatkan satu armada British terdiri daripada 11 kapal yang membawa 759 banduan belayar dari Portsmouth, England menuju ke pelabuhan Sydney.

Menyusur bawah jambatan

Sydney mempunyai dua pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Darling (The Darling Harbour) iaitu pelabuhan atau jeti khusus untuk feri pelancong dan bot kecil. Satu lagi adalah Pelabuhan Sydney (The Sydney Harbour) yang dikhaskan untuk bot lebih besar seperti kapal persiaran dan kapal dagang.

Antara Darling Harbour dan Sydney Harbour dipisahkan oleh Jambatan Harbour (The Harbour Bridge) yang masyhur iaitu sebuah jambatan berbentuk melengkung merentangi di tengah-tengah dua pelabuhan utama itu.

Jambatan Harbour dan Opera House mungkin tidak asing bagi kebanyakan pelancong yang bertandang ke Sydney kerana ia sudah sinonim dengan bandar raya ini.

Dari Pelabuhan Darling, pelancong boleh menaiki bot sambil menikmati panorama Sydney yang sangat indah dalam perjalanan menuju ke Zoo Taronga yang terletak di atas sebuah bukit di kuala pelabuhan Sydney.

Bot akan menyusur di bawah Jambatan Harbour dan seterusnya melewati Opera House, sebuah bangunan yang mempunyai reka bentuk unik dan tersendiri.

Tarikan Operas House, Zoo Taronga

Bangunan itu direka oleh Jorn Utzon, seorang arkitek dari Denmark yang terkenal kerana reka bentuknya diilhamkan hasil gabungan sayap

burung, kulit siput, tompokan awan dan pohon palma.

Opera House dibina pada 2 Mac 1959 dan dibuka secara rasmi oleh Ratu England, Ratu Elizabeth II pada 20 Oktober 1973 sebagai satu simbol peperangan dan keamanan sejagat. Hari ini Opera House terkenal sebagai pusat kegiatan seni dan hiburan paling aktif di dunia dalam pementasan teater, persembaha­n orkestra dan konsert yang boleh memuatkan 2,679 penonton.

Zoo Taronga pula adalah zoo unik di dunia kerana terletak di atas bukit di pinggir laut di teluk Sydney. Sebaik memasuki zoo ini, terpampang perkataan Natgeowild di pintu masuk kandang kanggaru. Ia memandangk­an zoo ini pernah dilawati kru rangkaian televisyen untuk pelbagai penggambar­an dokumentar­i seperti National Geographic, National Geographic Special dan Natgeowild.

Dalam zoo ini terdapat dua keluarga terbesar kanggaru iaitu spesies berwarna merah bersaiz lebih besar dan spesies kelabu dengan bentuk fizikalnya yang kecil. Hidupan lain yang menarik ialah beruang koala dan platipus, sejenis binatang yang mirip itik. Haiwan ini jarang atau tidak ditemui di tempat lain di dunia.

Dunia bawah air terbesar dunia

Sydney juga menyediaka­n ‘dunia di bawah air’ atau underwater world yang antara terbesar di dunia. Mula dibuka pada tahun 1988, Akuarium Hidupan Laut Sydney diisi dengan lapan juta liter padu air, memuatkan 13,000 haiwan marin dari 700 spesies serta memiliki ikan pari dan jerung bersaiz gergasi paling banyak di dunia.

Bersebelah­an akuarium ini terletak muzium patung lilin Madame Tussauds Sydney. Di dalamnya terdapat patung lilin menampilka­n personalit­i dan selebriti terkemuka seperti Harrison Ford, Michael Jackson, Jackie Chan, Marilyn Monroe dan kerabat diraja British. Tidak ketinggala­n personalit­i TV terkenal Australia, Stepen Robert ‘Steve’ Irwin.

Steven Irwin yang dikenali dengan jolokan The Crocodile Hunter di saluran Animal Planet meninggal dunia pada 2006 akibat disengat ikan pari ketika membuat penggambar­an di dasar laut di Terumbu Karang Besar Australia.

Untuk melihat panorama Sydney secara menyeluruh, anda boleh menaiki Menara Sydney yang dikenali juga dengan nama The Sydney Tower Eye atau Westfield Center Point Tower. Menara ini mula dibina pada tahun 1977 dengan ketinggian 320 meter.

Bagi pelancong Muslim, mencari makanan halal tidak menjadi masalah. Banyak restoran halal dan terdapat sekurang-kurangnya 10 kedai makan halal diusahakan oleh rakyat Malaysia di Sydney.

 ??  ?? Sebuah bot membawa pelancong melintasi Opera House di pelabuhan Sydney.
Sebuah bot membawa pelancong melintasi Opera House di pelabuhan Sydney.
 ??  ?? The Harbour Bridge atau Jambatan Harbour, Sydney.
The Harbour Bridge atau Jambatan Harbour, Sydney.
 ??  ?? Pelawat teruja berada di Akuarium Hidupan Laut Sydney.
Pelawat teruja berada di Akuarium Hidupan Laut Sydney.
 ??  ?? Bersama The Crocodile Hunter, Steve Irwin dalam muzium patung lilin Madame Tussauds, Sydney.
Bersama The Crocodile Hunter, Steve Irwin dalam muzium patung lilin Madame Tussauds, Sydney.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia