Berita Harian

Serai jana pendapatan RM2,000 sebulan

Ibu tunggal manfaat tanah tepi rumah tingkat pendapatan keluarga

- Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Kegigihan seorang ibu tunggal mengusahak­an tanaman serai di tepi rumahnya berhasil apabila mampu memperoleh pendapatan bulanan sehingga RM2,000 menerusi hasil jualan 500 kilogram (kg) serai.

Siti Norhayati Lasnang, 42, dari Kampung Sungai Besar Darat, Benut, dekat sini, mengusahak­an kebun serai di hadapan rumahnya sebagai punca pendapatan utama keluarga sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau yang sebelum ini berniaga air batu campur di depan rumahnya mendapat inspirasi untuk mengusahak­an kebun serai itu selepas melihat kejayaan seorang penduduk kampung berkenaan yang berjaya mengekspor­t hasil pertanian sehingga ke Singapura.

Siti Norhayati berkata, beliau mempunyai tanggungja­wab berat membesarka­n tiga anak perempuann­ya berusia 21,16 dan 11 tahun yang masih belajar.

Katanya, walaupun menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kenaikan kos sara hidup menyebabka­n beliau perlu berusaha gigih menyara keluargany­a.

“Pendapatan menjual air batu campur tidak tetap menyebabka­n saya perlu mencari cara lain untuk menambah pendapatan keluarga.

“Saya mula berminat menceburi bidang pertanian selepas melihat usaha ayah angkat, Sabari Hashim, 67, menanam pelbagai jenis sayuran termasuk kunyit berhasil sehingga dieksport ke Singapura.

“Dengan dorongan serta nasihat ayah angkat, saya nekad memulakan kebun serai saya sendiri dengan menanam lebih 200 pokok serai gajah di halaman rumah dengan benih dibekalkan­nya sejak Ogos tahun lalu.

“Alhamdulil­lah, saya mula menuai hasilnya bulan ini dengan 500kg serai yang ditempah semuanya oleh sebuah syarikat katering dan restoran terkemuka di Batu Pahat,” katanya kepada BH.

Anak sokong usaha

Siti Norhayati berkata, syarikat katering dan restoran itu juga sudah memajak serai diusahakan­nya dan beliau perlu membekalka­n 30kg serai setiap minggu kepada mereka.

Katanya, ketiga-tiga anaknya turut menyokong usahanya menanam serai apatah lagi ia mampu memberi hasil pendapatan tetap kepada keluargany­a.

“Pada mulanya anak saya tidak yakin dengan usaha ini berikutan usaha menjual air batu campur pun tidak membuahkan hasil memberangs­angkan.

“Namun, selepas mereka melihat pokok serai semakin gemuk dan besar, mereka pula yang teruja dan ringan tulang membantu saya menjirus semua pokok serai ini setiap petang,” katanya.

Perlukan wang lebih

Beliau berkata, selepas melihat pokok serainya menjadi dan mula mendatangk­an pulangan, kini beliau menanam 200 lagi pokok serai baharu di sekitar kawasan rumahnya.

Katanya, beliau juga akan mula menanam sayuran termasuk ulam raja, kunyit, lada dan terung susulan permintaan pelanggan.

“Sebelum ini saya buntu memikirkan mahu mencari wang bagi menampung perbelanja­an keluarga apatah lagi anak memerlukan wang lebih untuk pengajian dan persekolah­an mereka.

“Saya bersyukur kerana Allah membuka pintu hati dan memberi inspirasi untuk mula berbudi pada tanah, hasil penat lelah itu sejak Ogos lalu berbaloi,” katanya.

 ?? [FOTO DAZAR SUARMAN /BH] ?? Siti Norhayati menunjukka­n hasil pokok serai yang ditanam di Kampung Sungai Besar Darat, Benut.
[FOTO DAZAR SUARMAN /BH] Siti Norhayati menunjukka­n hasil pokok serai yang ditanam di Kampung Sungai Besar Darat, Benut.
 ??  ?? Siti Norhayati menyiram pokok serai yang diusahakan­nya di Kampung Sungai Besar Darat, Benut.
Siti Norhayati menyiram pokok serai yang diusahakan­nya di Kampung Sungai Besar Darat, Benut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia