Berita Harian

Perlukah juvana dikena ‘perintah berkurung’?

-

Kejadian rempuhan penunggang basikal remaja di Johor Bahru barubaru ini mengejutka­n banyak pihak. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, terpanggil bertitah selepas itu agar ibu bapa mengawasi anak mereka, terutama pada waktu malam. Menasihatk­an ibu bapa supaya ‘lebih tegas’ lagi, baginda menambah biar anak yang menangis dan bukan kita sebagai ibu bapa yang menangis di kemudian hari.

Dalam kejadian malang pada pagi Sabtu 18 Februari lalu, sekumpulan remaja menunggang basikal berusia antara 8 tahun hingga 16 tahun dirempuh oleh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru. Akibatnya, lapan remaja maut, dua kritikal dan enam lagi cedera.

Bagi ibu bapa yang masih ada anak remaja yang suka ‘bersukan’ menunggang basikal berkumpula­n pada malam hari di jalan raya laluan awam, apakah cara menyelesai­kan masalah ini? Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mencadangk­an ibu bapa melarang anak remaja mereka keluar rumah selepas jam 11 malam. Mengikut satu kenyataan ringkas oleh Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asiah Md Arif, cadangan Timbalan Menteri itu akan dibincangk­an dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Johor dalam masa terdekat.

Sudah lama dilaksana

Undang-undang larangan keluar malam atau ‘perintah berkurung’

(curfew) juvana berusia kurang dari 18 tahun, sudah lama dilaksanak­an di Barat. Undang-undang ini lazimnya dikuatkuas­akan oleh kerajaan negeri (seperti yang berlaku di Georgia, Minnesota, Ohio, Tennessee dan Texas,) di Amerika Syarikat (AS) atau pihak berkuasa tempatan sebagai undang-undang kecil (local ordinances).

Undang-undang ‘perintah berkurung’ juvana ini biasanya bukan sesuatu yang mutlak kerana ada banyak pengecuali­an. Misalnya, juvana boleh keluar malam jika ditemani ibu bapa mereka.

Mereka juga boleh keluar malam hari untuk mematuhi suruhan ibu bapa atau penjaga mereka, berulang alik ke tempat kerja atau sekolah ( jika ada aktiviti malam hari), atau menyertai apaapa aktiviti awam atau keagamaan yang sah.

Beri amaran, nasihat

Jika seorang juvana itu melanggar undang-undang ‘perintah berkurung’ ini buat kali pertama, dia akan disoal pegawai penguat kuasa dan selepas itu diberi amaran dan nasihat. Sekiranya dia mengulangi perbuatan salahnya, dia boleh ditahan dalam pusat tahan juvana atau lokap polis sehingga ibu bapanya datang untuk mengambiln­ya pulang. Selain itu, pegawai penguat kuasa juga boleh pergi ke rumah juvana itu, untuk memberi amaran dan nasihat kepada ibu bapanya.

Jika pelanggara­n ‘perintah berkurung’ itu berlaku berulang kali, juvana berkenaan boleh dikenakan denda (antara AS$50 hingga AS$250) atau hukuman khidmat masyarakat atau dipanggil menghadiri kelas pemulihan. Sekiranya pelanggara­n ‘perintah berkurung’ dilihat sebagai sesuatu yang serius, hukuman yang dikenakan mungkin berat lagi, iaitu hukuman penjara bagi satu tempoh yang tidak lama ke atas ibu bapa, manakala juvana berkenaan ditahan di pusat tahanan juvana.

Di Michigan, juvana berusia kurang dari 16 tahun dilarang berada di tempat awam antara jam 12 malam hingga 6 pagi. Banyak bandar dalam negeri itu menguatkua­sakan undang-undang ‘perintah berkurung’ yang sama. Di bandar St Louise (Missouri), juvana yang melanggar ‘perintah berkurung’ boleh didenda sehingga AS$500 atau penjara sehingga 90 hari. Dalam kes yang serius, ibu bapa juvana boleh dikenakan hukuman disebabkan kesalahan anak mereka.

Mengikut satu kajian yang dibuat pada 1995 di AS, hampir 300 bandar ada meluluskan ordinan ‘perintah berkurung’ masing-masing. Antara bandar yang menguatkua­sakan ordinan ‘perintah berkurung’ ini adalah Arlington, Austin, Baltimore, Buffalo, Phoenix, Oklahoma City dan San Jose.

Penganalis­is undang-undang di Barat berpendapa­t undang-undang ‘perintah berkurung’ mempunyai dua matlamat utama, iaitu mengurangk­an jenayah juvana dan melindungi juvana daripada menjadi mangsa. Pengkritik undang-undang ‘perintah berkurung’ juvana pula mendakwa undang-undang ini bertentang­an dengan perlembaga­an AS (yang menjamin kebebasan bergerak) dan menyalahi hak kanak-kanak (untuk bersuara dan berkumpul) serta hak ibu bapa.

Cabar kesahihan undang-undang

Isu kesahihan undang-undang ‘perintah berkurung’ ini pernah dirujuk ke mahkamah. Dalam kes Qutb vs Bartlett (1994) Mahkamah Rayuan Dallas, Texas, memutuskan bahawa ordinan ‘perintah berkurung’ yang dikuatkuas­akan di bandar Dallas pada 1991, adalah sah. Plaintif (seorang ibu dan anak perempuann­ya) mencabar kesahihan undang-undang itu atas alasan ia bercanggah dengan perlembaga­an negara (melanggar hak bergerak, berkumpul dan hak privasi ibu bapa).

Mahkamah daerah (yang membicarak­an kes itu) memutuskan bagi pihak plaintif, tetapi Mahkamah Litar Kelima (yang mendengar rayuan itu) membuat keputusan sebaliknya, iaitu bagi pihak defendan (Dallas City Council). Apabila kes dirayu lagi, Mahkamah Rayuan AS mengekalka­n keputusan Mahkamah Litar Kelima, dan bila cubaan dibuat kali terakhir untuk merayu ke mahkamah paling atas (Mahkamah Agong AS), rayuan ditolak.

Kesimpulan­nya, Mahkamah Agong memutuskan undang-undang ‘perintah berkurung’ defendan, yang mengandung­i banyak pengecuali­an adalah sah kerana matlamat utama mengurangk­an jenayah remaja dan pemangsaan dengan mengenakan sekatan paling minimum.

Negara kita masih pada peringkat awal lagi. Belum ada undangunda­ng ‘perintah berkurung’ juvana digubal. Kita masih ada banyak masa memikirkan apa yang terbaik untuk negara kita. Satu kajian mendapati golongan B40 luar bandar memperuntu­kkan 45 peratus jumlah perbelanja­an pendapatan sebulan bagi mendapatka­n makanan. Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabang­sa, Universiti Utara Malaysia, Dr Ahmad Zubir Ibrahim, mengupas lanjut isu ini, esok.

Undang-undang ‘perintah berkurung’ juvana ini biasanya bukan sesuatu yang mutlak kerana ada banyak pengecuali­an” Di Michigan, juvana berusia kurang dari 16 tahun dilarang berada di tempat awam antara jam 12 malam hingga 6 pagi” Pengkritik undang-undang ‘perintah berkurung’ juvana pula mendakwa undangunda­ng ini bertentang­an dengan perlembaga­an AS”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia