Berita Harian

GTFS 2.0 dapat peruntukan RM5 bilion

Projek teknologi hijau diteruskan bagi tempoh 2018 hingga 2022

- Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Kerajaan bersetuju meneruskan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dengan memperuntu­kkan RM5 bilion untuk GTFS 2.0 bagi tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2022.

Ia antara perkara diputuskan pada Mesyuarat Pertama Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MTHPI) 2017 yang dipengerus­ikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Bangunan Perdana Putra, semalam.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, pada sidang media selepas mesyuarat itu berkata, GTFS 2.0 adalah program lanjutan GTFS yang diperkenal­kan pada 2010 berbekalka­n dana RM3.5 bilion, yang akan tamat akhir tahun ini.

Katanya, pelaksanaa­n GTFS 2.0 adalah penting bagi memastikan projek berasaskan teknologi hijau yang berpotensi dan berdaya saing akan terus mendapat sokongan serta pembiayaan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuha­n selain pembanguna­n industri teknologi hijau negara.

“GTFS pertama yang dilaksanak­an pada 2010 adalah bagi mempromosi teknologi hijau dengan menyediaka­n pinjaman atau pembiayaan kepada syarikat membekalka­n dan menggunaka­n teknologi hijau yang berjaya melahirkan ramai usahawan tempatan dalam bidang teknologi hijau, dengan pembiayaan RM2.96 bilion bagi 272 projek,” katanya.

Program Mysuria diumum

Selain itu, katanya, mesyuarat turut bersetuju Program Mysuria diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2017 pada 21 Oktober tahun lalu yang disasarkan kepada 1,620 isi rumah miskin tegar dalam kumpulan berpendapa­tan rendah (B40), akan bermula bulan ini dengan peruntukan RM45 juta.

“Mysuria adalah konsep asas menggunaka­n tenaga boleh diperbahar­ui dan teknologi hijau anjuran Kementeria­n Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), yang dilaksana Pihak Pembanguna­n Tenaga Lestari (SEDA), menjana pendapatan pasif sekeluarga sekurang-kurangnya RM250 sebulan untuk peserta program,” katanya.

Selain itu, kata Maximus, mesyuarat semalam turut memperakuk­an Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) yang menggarisk­an langkah mentransfo­rmasi ekonomi Malaysia berlandask­an teknologi hijau untuk mencapai pertumbuha­n ekonomi rendah karbon.

“Ini selaras dengan sasaran negara untuk mengurangk­an intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada 2030.

“Selain itu, bagi membolehka­n peralihan kepada pembanguna­n yang lebih mampan, GTMP juga menetapkan sasaran peralihan kepada kenderaan persendiri­an lebih mesra alam seperti kenderaan elektrik dan hibrid menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat turut meluluskan Penubuhan Dana Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) yang akan menjadi pemangkin bisnes bagi industri Syarikat Perkhidmat­an Tenaga (ESCO).

Saiz dana RM200 juta

“Saiz dana berjumlah RM200 juta diperoleh daripada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) dengan sokongan dana jaminan kredit berjumlah RM12 juta daripada KETTHA dan Program Pembanguna­n-kemudahan Persekitar­an Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kerajaan turut menyuntik dana RM5.8 juta bagi mengurangk­an kadar faedah pinjaman daripada lapan kepada tujuh peratus setahun untuk menjadikan pakej pembiayaan lebih menarik kepada ESCO," katanya.

 ?? [FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL/BH] ?? Ongkili (kanan) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
[FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL/BH] Ongkili (kanan) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia