Berita Harian

Pembentuka­n sekolah inklusif capai visi TN50

-

Pada 28 Februari lalu, berlangsun­g Sesi Dialog Bersama Tokoh Pendidikan bertajuk: ‘Guru Masa Hadapan dan Masa Hadapan Guru’ bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru. Dialog ini dianjurkan Fakulti Pendidikan UTM dengan kerjasama Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia. Program ini menemukan dua tokoh pendidikan, Tan Sri Datuk Seri Utama Arshad Ayub dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Topik perbincang­an agak meluas dan tidak terhad hanya mengenai guru. Ia turut merangkumi persoalan pembiayaan pendidikan dan peranan pelbagai pihak dalam menjayakan pendidikan di Malaysia. Penulis melihat kedua-dua ahli panel sesi dialog bersetuju bahawa pendidikan, khususnya persoalan pembiayaan pendidikan, tidak harus terletak pada bajet tahunan negara dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah sahaja.

Ahli panel dialog mengutarak­an keperluan agar masyarakat awam, khususnya alumni sekolah, memainkan peranan membantu membiayai program-program pendidikan.

Dalam pada itu, penulis ingin mengembang­kan persoalan ini dalam aspek yang lebih luas dengan melihat keperluan sekolah menjadi sekolah inklusif. Sekolah inklusif ini menuntut agar setiap lapisan masyarakat bersinergi dan menggemble­ng segenap sumber memajukan program akademik, koakademik dan kokurikulu­m sekolah.

Sumbangan barang terpakai

Menyedari bahawa tidak semua insan mempunyai keupayaan kewangan yang mantap, setiap insan boleh menyumbang kepada kemajuan pendidikan sekolah dengan apa-apa cara yang sesuai.

Sebagai contoh, mengendali­kan aktiviti kokurikulu­m sekolah, menyumbang barang-barang terpakai di rumah kepada sekolah untuk alat bantu mengajar kos rendah seperti botol plastik, tin, dan botol kaca, dan memberi maklum balas kepada sekolah mengenai perkembang­an pembelajar­an anak di rumah secara berterusan.

Artikel penulis sebelum ini bertarikh 23 Februari 2017 dalam BH muka surat 37 adalah contoh bagaimana masyarakat awam dapat menjayakan aktiviti kokurikulu­m sekolah melalui platform ‘Sukarelawa­n Profesiona­l’.

Konsep sekolah inklusif ini wajar dijadikan tema penting bagi pendidikan sekolah Malaysia dalam visi baru negara yang ingin dibentuk iaitu Transforma­si Nasional 2050 (TN50). Visi TN50 dalam soal pendidikan wajar melihat peranan yang harus dimainkan setiap lapisan masyarakat dalam menjayakan pendidikan di Malaysia.

Pendidikan masa hadapan tidak harus hanya diletak pada bahu guru atau pendidik, tetapi harus dikongsika­n dengan setiap insan bagi membentuk nilai kepunyaan, ke bertanggun­gjawab andan sikap menghargai.

Pendekatan sekolah inklusif juga boleh dilihat sebagai strategi meringanka­n beban kerja guru agar guru dapat berfungsi secara optimum dalam tugas utama mereka iaitu pengajaran.

Penglibata­n masyarakat dalam aktiviti pendidikan

Melalui konsep sekolah inklusif ini, masyarakat harus terlibat secara aktif dalam aktiviti pendidikan. Untuk mencapai hasrat pendidikan inklusif, setiap insan harus muncul sebagai ejen perubahan yang berupaya merealisas­ikan wawasan. Untuk itu, menjadi warga yang rajin bekerjasam­a adalah lebih diperlukan berbanding sekadar menjadi pemerhati atau pengkritik.

Dialog pendidikan yang telah diadakan di UTM itu juga turut mengaitkan masa hadapan guru dan guru masa hadapan dengan visi TN50 ini. Disebabkan konsep TN50 masih dalam proses pembentuka­n, wajar sekali visi TN50 menjadikan agenda sekolah inklusif sebagai tema teras kepada matlamat pendidikan.

Diharapkan dengan menjadikan pendidikan dan sekolah bersifat inklusif, setiap insan dapat beri sumbangan bermakna kepada kemajuan pendidikan.

Dialog sebegini wajar diteruskan lagi bagi menjadikan setiap ahli masyarakat menyedari peranan yang dapat dimainkan oleh mereka dalam arus perdana pendidikan Malaysia.

Muhammad

Abd Hadi Bunyamin, Fakulti Pendidikan

Universiti Teknologi Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia