Berita Harian

Misi mesti benam Bangladesh

- Oleh Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Aksi pertama berdepan tuan rumah Bangladesh, esok bakal memberi gambaran awal sejauh mana kemampuan skuad hoki bimbingan Stephen Van Huizen bergelar juara pada kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL2).

Namun, semuanya akan menjadi sukar sekiranya skuad hoki negara gagal meraih keputusan positif menentang pasukan ranking ke-32 dunia itu yang dilihat sebagai pencabar terkuat dalam Kumpulan A berbanding dua lagi pasukan iaitu Fiji dan Oman.

Malaysia yang kembali menghuni ranking ke-13 dunia pada Januari lalu, perlu memastikan tidak tercicir sebarang mata bagi bergelar juara kumpulan dalam usaha mengelak berdepan pasukan pilihan daripada Kumpulan B China (ranking ke-18 dunia) pada suku akhir mahupun separuh akhir.

Jadi perhitunga­n

Pengendali skuad Malaysia Tigers, Stephen bagaimanap­un, memberi amaran kepada anak buahnya supaya berhatihat­i dengan kemampuan Bangladesh walaupun kelebihan ranking jelas berpihak kepada pasukannya.

“Untuk berdepan tuan rumah pada aksi pertama ia sentiasa akan menjadi perhitunga­n yang sukar dengan kami sudah lama tidak pernah bertemu Bangladesh.

“Jadi kami hanya perlu menumpukan pada kekuatan kami sendiri dan cuba memastikan kami berada pada tahap terbaik ketika melangkah masuk ke dalam padang dengan melakukan persiapan terbaik,” katanya semalam.

Kemampuan Bangladesh seharusnya tidak dipandang enteng sekiranya mengambil kira peningkata­n persembaha­n yang diperagaka­n skuad remaja mereka pada kempen Piala Remaja Asia 2015 di Kuantan.

Pada kempen itu, skuad remaja Bangladesh berjaya melakar kejutan 2-0 ke atas Korea Selatan pada aksi kumpulan sebelum menamatkan cabaran kejohanan di tempat kelima selepas tewas kepada skuad remaja negara 8-0 pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam.

Difahamkan, majoriti pemain Bangladesh yang beraksi kali ini terdiri daripada pemain yang beraksi pada kempen Piala Remaja Asia 2015.

Justeru, skuad yang diketuai Sukri Mutalib dan yang hadir dalam keadaan ‘tempang’ tanpa tonggak seperti Faizal Saari, S Kumar, Firhan Ashari dan Haziq Samsul itu perlu berwaspada dengan kemampuan Bangladesh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia