Berita Harian

Chong Wei perlu waspada saingan Seluruh England

-

Kuala Lumpur: Kekalahan mengejut bintang sensasi China, Lin Dan di tangan pemain muda Denmark, Emil Holst dalam aksi pusingan ketiga Terbuka Jerman, kelmarin membuatkan jaguh perseorang­an negara, Datuk Lee Chong Wei turut berwaspada menjelang saingan Seluruh England bermula Selasa ini.

Chong Wei yang membuat penampilan pertama untuk kalendar 2017 di Birmingham selepas tiga bulan tanpa sebarang aksi kompetitif menyifatka­n kekalahan Lin Dan itu mungkin disebabkan pemain berkenaan sudah lama tidak beraksi dan gagal menyesuaik­an diri dengan suasana kejohanan.

“Saya tidak tengok perlawanan Lin Dan itu tetapi mungkin ia disebabkan dia sudah lama tidak bermain dalam kejohanan. Nak dapatkan semula suasana kejohanan bukan mudah.

Suasana kejohanan

“Situasi ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada saya. Memang sasaran saya di Seluruh England tinggi tetapi yang paling nak dapatkan keyakinan dan suasana kejohanan.

“Kalah atau apa, jangan sampai hilang keyakinan sebab ada banyak lagi kejohanan perlu dihadapi selepas itu,” kata Chong Wei yang akan berlepas ke Birmingham, malam ini.

Pemain nombor satu dunia itu yang akan membuka tirai saingan menentang pemain daripada pusingan kelayakan dijangka tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya ke separuh akhir jika mampu mengembali­kan prestasi sebenarnya.

Dua seteru utamanya dari China, sama ada Lin Dan dan Chen Long dijangka menantinya di pentas final.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia