Berita Harian

Untuk yang berminat: Kim Swee

- Oleh Syed Riduan Ahmad

Kuala Lumpur: Pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee hanya akan memanggil pemain yang masih berminat menyertai skuad kebangsaan pada kem latihan pada 13 Mac ini.

Kim Swee berkata, empat bekas pemain kebangsaan yang bersara tahun lalu – Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, Amirulhadi Zainal dan S Kunanlan – belum ada dalam perancanga­nnya.

“Setakat ini saya tidak dimaklumka­n sama ada mereka akan kembali daripada persaraan atau tidak, jadi saya tidak boleh menunggu mereka untuk membentuk skuad,” kata Kim Swee yang kini berada di London bagi mengikuti latihan kejurulati­han bersama kelab Queens Park Rangers (QPR).

“Sejak persaraan mereka, saya hanya memberi tumpuan kepada pemain yang ada dan walaupun berada di London, pembantu jurulatih tetap mengikuti perkembang­an Liga Malaysia (Liga M) bagi menilai prestasi pemain baharu dan lama.

Kembali sarung jersi

“Jika mereka tergerak hati untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan, mungkin kita akan nilaikan semula prestasi mereka dan menyenarai­kan nama mereka untuk pasukan,” katanya.

Desas-desus kepulangan keempat-empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mula diperkatak­an apabila pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikatakan antara calon utama untuk mengisi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres Pemilihan FAM Ke-53, 25 Mac ini.

Skuad Harimau Malaysia kembali menjalani latihan pusat pada 13 Mac ini sebagai persiapan menghadapi perlawanan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang 28 Mac ini.

Sepanjang tempoh persiapan itu, skuad negara akan bertemu Filipina dalam aksi persahabat­an di Manila pada 22 Mac.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia