Berita Harian

Reputasi TMJ sukar ditandingi lawan: Chor Len

- Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan, Soh Chor Len menganggap pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta‘zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, calon paling layak menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres Pemilihan FAM Ke-53, 25 Mac ini.

Beliau berkata, TMJ yang membawa pelbagai kejayaan kepada pasukan Harimau Selatan sejak beberapa tahun lalu termasuk menjuarai Piala AFC, diyakini mampu mengubah landskap bola sepak negara.

“Bagi saya TMJ adalah calon yang paling layak menerajui FAM setakat ini tambahan pula tokoh muda itu memiliki reputasi yang sukar ditandingi lawannya, bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa,” katanya semalam.

Bekas pemain Melaka, Selangor dan skuad kebangsaan era 80-an dan 90-an itu yakin sokongan akan memihak kepada TMJ terutama atas dasar mahukan dimensi baharu bola sepak negara yang berbeza dengan corak sedia ada.

Banyak berjasa

Namun, beliau tidak menafikan kesungguha­n dan peranan Annuar yang juga banyak berjasa untuk melonjak imej bola sepak negara kerana pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden FAM pada 2010.

“Cuma FAM kali ini memerlukan tokoh muda untuk membawa perubahan. Saya yakin TMJ yang berpandang­an jauh berupaya merevolusi­kan bola sepak negara jika diberi peluang,” katanya semalam.

Beliau berkata, dalam memastikan kejayaan skuad bola sepak negara terus meningkat, TMJ juga memerlukan sokongan semua pihak, bukan semata-mata mengharapk­an beliau merencana segala strategi sebagai presiden secara sendirian.

“TMJ juga memerlukan sokongan Timbalan Presiden FAM dan EXCO yang bakal dilantik untuk sama-sama merubah pencapaian bola sepak negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia