Berita Harian

JDT sentap ego Tok Gajah

Harimau Selatan tewaskan pendahulu liga 3-2 di Larkin

- Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Darul Ta'zim (JDT) menyentap ego Pahang selaku pendahulu liga selepas menewaskan pasukan itu 3-2 dalam satu-satunya aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit keenam selepas Gonzalo Cabrera bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti namun bola sepakan deras terbias pertahanan pelawat.

Tindakan Junior Eldstal yang cuba mengeluark­an bola dari kawasan penalti pada minit ke-14 dihalang Muhd Nor Azam Abdul Azih yang pantas mengumpan bola kepada Matheus Alves yang merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Benjamin Mora mula mengatur serangan untuk memburu gol penyamaan, namun keampuhan benteng pertahanan skuad Tok Gajah gandingan Heo Jae-won dan Mohd Afif Amiruddin sukar ditewaskan.

Sepakan percuma kapten Safiq Rahim dari luar kotak penalti pada minit ke-27 menyebabka­n bola terkena tangan Mohd Afif dan pengadil perlawanan, Zulkfili Ahmad tidak teragak-agak menghadiah­kan sepakan penalti.

Sepakan penalti

Safiq yang ditugaskan mengambil sepakan penalti pada minit ke-30 mengundang cemas selepas bola sepakan deras ditampan Wan Muhd Azraie tapi Ahmad Hazwan Bakri menyusul untuk mengambil kesempatan bola muntah untuk menjaringk­an gol penyamaan.

Ahmad Hazwan mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-36 selepas Safiq bijak melorongka­n bola dicelah benteng pertahanan lawan yang tampak tergamam dan penyerang skuad Harimau Selatan itu mudah merembat bola tepat ke sudut kiri menewaskan Wan Muhd Azraie.

Safiq menebus kegagalan sepakan penalti pada babak pertama apabila bola gerakan yang dimulakan Gabriel Guerra pada minit ke-55 yang mengumpan kepada S Kunanlan sebelum bertindak menolak tepat kepada kapten JDT itu yang merembat bola leret menewaskan Wan Muhd Azraie.

Namun, pelawat bangkit merapatkan jurang gol pada minit ke-68 selepas Alves turut mencipta gol kedua peribadi apabila meledakkan rembatan deras dari jarak 25 meter menerusi hasil sepakan percuma sehingga sukar buat Izham Tarmizi menyelamat­kan bola yang terkena palang dan masuk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia