Berita Harian

Warga emas putus kepala dilanggar kenderaan 4x4

Mangsa dirempuh ketika melintas jalan bersama isteri

- Oleh Suzianah Jiffar suzianah@bh.com.my Kota Kinabalu

Seorang lelaki warga emas maut dengan kepalanya terputus selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika melintas di Jalan Tuaran, berhampira­n Sekolah Menengah (SM) Shan Tao, Likas di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.14 pagi itu, Lee Thien Yu, 62, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu pacuan empat roda Toyota Fortuner itu tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, kenderaan dipandu lelaki berusia 37 tahun itu dalam perjalanan dari arah Inanam menuju ke Kota Kinabalu sebelum terlanggar lelaki itu yang tiba-tiba melintas jalan.

Sebelum kejadian, difahamkan mangsa bersama isterinya melintas jalan dari arah kanan ke seberang jalan untuk menunggu bas.

Bagaimanap­un, difahamkan ketika tiba di pembahagi jalan, isteri mangsa berjaya melintas ke seberang jalan, manakala mangsa mengikutny­a dari belakang sebelum dirempuh pacuan empat roda berkenaan.

Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia dengan kepalanya terputus dan tercampak kira-kira 10 meter dari badannya.

Kes masih disiasat

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang tidak memastikan laluan jalan raya selamat sebelum melintas.

“Kita juga mendapati ada laluan pejalan kaki di kedudukan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian. Bagaimanap­un, siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataann­ya di sini, semalam.

 ?? [FOTO MOHD ADAM ARININ/BH] ?? Anggota polis mengangkat mayat Thien Yu selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda untuk dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth.
[FOTO MOHD ADAM ARININ/BH] Anggota polis mengangkat mayat Thien Yu selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda untuk dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia