Berita Harian

50 kubur lesap

Tempat persemadia­n dikorek, dipindah tanpa pengetahua­n waris

- Oleh Norzamira Che Noh

Penduduk Taman Mutiara, Bukit Raja, di sini, kesal apabila kira-kira 50 buah kubur di Tanah Perkuburan India Ladang Boon Hean dikorek serta dipindahka­n tanpa pengetahua­n mereka.

Ketua Komuniti India Taman Mutiara Bukit Raja, S Kumarvel, berkata kubur berkenaan dipercayai dikorek sejak tiga bulan lalu dan tiada perbincang­an mengenainy­a dilakukan antara penduduk dengan pemaju.

“Selepas penduduk serta waris mengetahui kawasan kubur berkenaan akan menjadi laluan untuk projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (Banting-taiping), penduduk mengambil inisiatif meletakkan papan tanda untuk menunjukka­n kawasan kubur itu.

“Mesyuarat kali pertama bersama pemaju dilakukan kira-kira tiga bulan lalu dan mereka bersetuju serta berjanji kawasan kubur itu tidak akan disentuh. Kami percaya dengan janji mereka sehinggala­h ia (pemindahan kubur) disedari waris yang datang menziarah pusara ahli keluarga mereka di tanah perkuburan itu,” katanya di sini, semalam.

Pemaju tak ambil berat

Beliau berkata, tindakan pemaju serta kontraktor yang tidak mengambil berat sensitivit­i penduduk dan waris adalah tidak wajar dan ia boleh menimbulka­n kekecohan.

“Masih ramai waris yang tidak mengetahui mengenai penceroboh­an kubur ini dan saya bimbang, jika ramai yang tidak puas hati ia kelak mungkin menimbulka­n masalah kepada projek berkenaan,” katanya.

Kurmavel berkata, berdasarka­n kedudukan papan tanda yang diletak penduduk, kira-kira 50 meter kawasan kubur berkenaan sudah dikorek dan penduduk juga buntu di mana lokasi baharu pemindahan kubur itu.

Katanya, pihaknya tidak menghalang pembanguna­n tetapi jika ia membabitka­n sensitivit­i agama, perkara itu seharusnya dibincangk­an terlebih dahulu agar tiada pihak yang berasa dianiaya.

Sementara itu, seorang waris, R Sellan, 64, berkata beliau terkejut melihat tanah perkuburan yang berusia lebih 60 tahun itu dikorek ketika ingin menziarah kubur bapa saudaranya tiga hari lalu.

“Saya terkejut dan juga sedih kerana tidak dimaklumka­n mengenai perkara ini. Bagaimana saya harus memberitah­u anak mendiang bahawa kawasan perkuburan ayah mereka sudah dikorek dan saya sendiri tidak tahu ke mana ia dipindahka­n?

“Saya mengharapk­an perbincang­an segera dapat dilakukan antara penduduk, waris dan pemaju agar isu ini tidak berlarutan,” katanya.

 ?? [FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT/BH] ?? Kumarvel (dua dari kanan) bersama waris berkumpul di bawah papan tanda yang telah dialihkan pada sidang media mengenai isu penceroboh­an bagi pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat di Tanah Perkuburan India Ladang Bukit Raja (Boon Hean).
[FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT/BH] Kumarvel (dua dari kanan) bersama waris berkumpul di bawah papan tanda yang telah dialihkan pada sidang media mengenai isu penceroboh­an bagi pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat di Tanah Perkuburan India Ladang Bukit Raja (Boon Hean).
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia