Berita Harian

Ubah pemikiran, usah hanya harap yuran pelajar

Aset sedia ada dapat dikomersia­lkan bagi pelaburan masa hadapan

- Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak

Pengurusan universiti awam (UA) di negara ini harus lebih kreatif dan mengubah cara pemikiran mengikut trend masa kini dalam mencari peluang untuk menjana pendapatan sendiri.

Ini berikutan, kebanyakan pengurusan universiti masih berada pada pemikiran takuk lama iaitu menumpukan kepada yuran pelajar, peruntukan penuh kerajaan dan pensyarah lebih menumpukan kepada pengajaran dan pembelajar­an.

Menyifatka­n pendekatan itu sudah ketinggala­n zaman, bekas Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata bermula sekarang, UA perlu memikirkan bagaimana aset sedia ada dapat dikomersia­lkan atau dibangunka­n bagi pelaburan masa hadapan.

Bangun kemudahan

“Kemudahan di universiti boleh dibangunka­n bagi memartabat­kan bidang keilmuan dan pada masa sama menjadikan Malaysia sebagai negara tumpuan pengajian serantau.

“Sebagai contoh, universiti yang mempunyai kawasan dan lokasi yang strategik juga boleh menggunaka­n kelebihan berkenaan untuk membangunk­an pusat kecemerlan­gan yang menjadi tumpuan pakar pelbagai bidang dari seluruh pelosok dunia untuk datang berseminar, menjalani latihan atau persidanga­n.

“Universiti sebagai institusi akademik yang berupaya menganjurk­an latihan, seminar dan persidanga­n adalah antara aktiviti utama yang boleh menjana kewangan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau berkata, universiti yang memiliki pensyarah yang membuat penyelidik­an mempunyai banyak maklumat terkini dan sudah pasti hasil inovasi mereka boleh dikomersia­lkan.

Pensyarah cemerlang

“Pensyarah yang cemerlang serta aktif menjadi aset penting universiti bagi menarik minat dalam menjalin kerjasama dengan industri tempatan mahu pun antarabang­sa. Kepakaran tempatan ini juga boleh digunakan untuk tugas perundinga­n yang sememangny­a diperlukan pihak kerajaan, agensi kerajaan dan swasta.

“Justeru, sudah tiba masanya kita menggunaka­n khidmat pensyarah tempatan untuk kerja perundinga­n berkaitan kerana di samping dapat mengurangk­an pengaliran wang keluar negara, kita boleh menjimatka­n perbelanja­an dan menjana pendapatan kepada universiti tempatan,” katanya.

Kemudahan di universiti boleh dibangunka­n bagi memartabat­kan bidang keilmuan dan pada masa sama menjadikan Malaysia sebagai negara tumpuan pengajian serantau”

Prof Dr Ahmad Ismail,

Bekas Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Putra Malaysia

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia