Berita Harian

Malaysia sedia gegar lagi

Skuad negara mara selepas juarai peringkat kumpulan, belasah Fiji 11-1 aksi terakhir

- Oleh Naqib Nor Said

Shahril Saabah percaya kemenangan besar 11-1 ke atas Fiji di Stadium Hoki Maulana Bhasari, semalam adalah persiapan terbaik skuad negara bagi menghadapi aksi suku akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL2) menentang Sri Lanka, esok.

Kemenangan bergaya dalam aksi terakhir Kumpulan A itu berjaya menonjolka­n sentuhan berbisa Shahril dan Fitri Saari, yang masing-masing meledak empat dan tiga gol untuk sekali gus membantu negara menjuarai Kumpulan B.

"Bagi saya kemenangan hari ini (semalam) tetap penting," kata Shahril, 23, yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

"Kombinasi kami di bahagian serangan menjadi. Ia juga adalah cara terbaik kami menyiapkan diri menghadapi aksi suku akhir dan separuh akhir sebelum memikirkan final.

Rashid ledak dua gol

Bagaimanap­un, Shahril mengakui dia dan seorang lagi pakar pukulan sudut penalti, Razie Rahim masih belum mendapat rentak dalam menyudahka­n pukulan itu gara-gara masalah permukaan padang sedikit tebal.

"Kami belum mendapat rentak sebab padang agak tebal dan berat. Jadi kami akan menganalis­is semula video dan memperbaik­inya selepas ini," katanya yang hanya meledak satu daripada empat gol pada aksi itu menerusi gerakan pukulan sudut penalti.

Pendapat bahawa pengendali negara Stephen Van Huizen mahu menurunkan barisan kedua pada perlawanan pelengkap jadual berdepan Fiji di ranking ke-42 semalam nyata meleset apabila dia dilihat menampilka­n barisan terbaik.

Malah, kehadiran Faiz Helmi Jali dalam kesebelasa­n utama juga menambah sengat pasukan negara selepas pemain bertubuh kecil itu terlepas dua aksi pertama kumpulan ketika menewaskan tuan rumah Bangladesh 3-0 dan Oman 6-1.

Selain Shahril dan Fitri, skuad negara turut memperoleh dua gol menerusi Rashid Baharom manakala Razie Rahim dan Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil masing-masing meledak satu bagi melengkapk­an hari gemilang Malaysia ke atas Fiji.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia