Berita Harian

Titans intai slot suku akhir musim ini

- Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: T-team mengharapk­an beberapa tonggak yang mengalami kecederaan dapat pulih sepenuhnya menjelang pertembung­an dengan pasukan ‘abang’, Terengganu dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Sabtu ini.

Penolong jurulatih T-team, Mohd Azhari Salim, berkata pasukannya berdepan dengan kecederaan dua tonggak pertahanan, Abdoulaye Youssouf Maiga dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang menyaksika­n The Titans tewas 2-4 di tangan Kelantan dalam Liga Super, Sabtu lalu.

Katanya, pemain pertahanan, Abdullah Suleiman yang diturunkan ketika bertemu The Red Warriors (TRW) juga turut mengalami kecederaan hingga terpaksa dikeluarka­n dalam perlawanan itu.

“Kita tidak mahu mengambil risiko menurunkan Maiga dan Wan Ahmad Amirzafran ketika bertemu Kelantan tempoh hari kerana khidmat mereka begitu penting bertemu Terengganu, Sabtu ini.

Ibarat adik abang

“Cuma, kita berharap dua pemain pertahanan ini dapat cergas sepenuhnya untuk kembali memperkuat­kan semula benteng pasukan berdepan skuad Penyu,” katanya kepada BH Sukan, di sini, semalam.

Mohd Azhari berkata, dia mahu pemain lupakan kekalahan di tangan Kelantan dengan memperbaik­i kesilapan dan memberi fokus melayakkan diri ke perlawanan suku akhir.

Katanya, sekalipun pertemuan diibaratka­n adik-abang, namun masing-masing perlu melupakan seketika ikatan itu dan tidak sesekali memberi laluan mudah kepada Terengganu.

“Kami terpaksa ketepikan dulu soal ‘perhubunga­n’ sebaliknya memperagak­an corak permainan mengikut taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Rahmad Darmawan.

“Kedua pasukan memiliki peluang seimbang untuk memenangi perlawanan Sabtu ini dan T-team akan persembahk­an permainan terbaik bagi merebut slot lapan pasukan terbaik,” katanya.

T-team tersingkir awal di pusingan kedua kepada Pahang manakala Terengganu juga mengalami nasib sama selepas ditunjuk jalan keluar PKNS FC yang muncul naib juara, musim lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia