Berita Harian

SISI HITAM KOREA UTARA TERMASUK PERNAH CULIK 4 WARGA MALAYSIA DI SINGAPURA 1978

-

Tindakan Korea Utara menahan warga kita sebagai tebusan ini adalah episod terkini dalam kes ketegangan hubungan diplomatik kedua-dua negara. Segala-galanya bermula dengan pembunuhan abang Presiden Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam di Malaysia, 13 Februari lalu.

Hubungan diplomasi Malaysiako­rea Utara bermula pada 30 Jun 1973 dan ia sebahagian langkah strategik pemimpin negara ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein untuk menegakkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang benarbenar berkecuali di pentas dunia.

Seiring dengan perkembang­an era pasca-perang Dingin, Malaysia menubuhkan pejabat kedutaan di Pyongyang pada 28 Februari 2004, yang kemudianny­a dikembangk­an dari sekadar pejabat sementara di Hotel Koryo ke bangunan kekal di daerah Daedonggan­g, Pyongyang, pada 2006.

Malaysia dan Korea Utara pada hakikatnya berada pada landasan terbaik untuk mengukuhka­n hubungan dua hala. Tiga hari sebelum kematian Jong-nam, pada 10 Februari, Malaysia dilaporkan baru sahaja menandatan­gani memorandum persefaham­an (MOU) kerjasama kebudayaan dengan Korea Utara membabitka­n muzium, arkib, perpustaka­an, kesenian, serta institusi kebudayaan.

Malah, dari segi perdaganga­n Malaysia dengan Korea Utara pula dianggarka­n berjumlah RM22.72 juta pada 2015 sahaja, yang mana Pyongyang mengimport minyak terproses, getah asli dan minyak sawit, manakala Malaysia memperoleh produk elektrik dan elektronik, produk kimia, besi dan keluli dari sana. Nilai eksport Malaysia ke Korea Utara juga signifikan, iaitu RM17.54 juta berbanding import, RM5.18 juta.

Tidak keterlalua­n untuk dikatakan dari segi ekonomi dan perdaganga­n, Korea Utara lebih memerlukan Malaysia. Malah, pada penghujung 2016, Ketua eksekutif Perbadanan Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dzulkifli Mahmud menyatakan, Korea Utara melihat Malaysia sebagai gerbang pasarannya ke Asia Tenggara. Sebanyak 18 syarikat Korea Utara menyertai ekspo perdaganga­n di Malaysia pada 2016, berbanding hanya empat pada 2015.

Sebenarnya Korea Utara pernah memiliki rekod memburukka­n hubungan diplomatik yang baik demi kepentinga­n politik mereka, seperti peristiwa pengeboman di Yangon pada 1983 oleh ejen Korea Utara untuk membunuh Presiden Korea Selatan ketika itu, Chun Doo-hwan yang berada di Myanmar. Pada waktu itu hubungan Korea Utara dengan Myanmar cukup signifikan, namun Pyongyang tetap melakukan pengeboman itu, yang mengorbank­an 20 orang.

Tahan warga asing

Korea Utara turut memiliki rekod menculik serta menahan warga asing seperti warga Korea Selatan, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat. Malah, mereka turut dikatakan menculik empat warga Malaysia di Singapura pada 1978 seperti didedahkan pengarah Associatio­n for the Rescue of North Korea Abductees (ARNKA) Tomoharu Ebihara, baru-baru ini.

Dalam konteks semasa, Korea Utara sememangny­a telah bertindak melampaui batas hubungan diplomasi konvension­al. Jadi, Malaysia perlu memainkan diplomasi ‘ofensif’ dengan Korea Utara demi membendung sebarang perkembang­an negatif, bukan sahaja dari segi dua hala dengan Pyongyang, tetapi juga menerusi platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga menerusi tekanan halus melalui China yang terkenal sebagai antara kuasa yang boleh mempengaru­hi Pyongyang dalam masa terdekat.

China adalah rakan dagang Korea Utara paling utama selepas runtuhnya Soviet Union dengan nilai dagangan sebesar AS$6.86 bilion (RM30.5 bilion) pada 2014 sahaja. Beijing juga bukan sahaja menyumbang 70 peratus jumlah dagangan Korea Utara, tetapi juga penderma makanan dan tenaga utama kepada Pyongyang. Maka, wajarlah hubungan baik Malaysiach­ina selama ini dimanfaatk­an demi membendung ancaman diplomatik Korea Utara.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia