Berita Harian

Permohonan Guan Eng, Li Koon ditolak

Akta SPRM 2009 tidak bercanggah Perlembaga­an

- Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

Mahkamah Tinggi di sini semalam, menolak dua notis usul difailkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, untuk mengisytih­arkan Seksyen 62 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai tidak berperlemb­agaan dan tidak sah.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail ketika membacakan penghakima­nnya, berkata akta berkenaan tidak bercanggah dengan Perlembaga­an Persekutua­n.

Beliau berkata, mahkamah juga menolak dan tidak bersetuju dengan dakwaan Guan Eng dan Li Koon, yang mendakwa Seksyen 62, Akta SPRM meletakkan beban pembuktian terhadap tertuduh selain mencabul hak mereka.

Beban bukti terus kekal

“Beban pembuktian akan terus kekal dengan pihak pendakwaan dan tidak beralih kepada tertuduh. Malah tertuduh wajar diberikan perbicaraa­n yang adil serta dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Justeru, selepas membuat per- timbangan sewajarnya mahkamah mendapati Akta SPRM 2009 secara keseluruha­nnya adalah berpelemba­gaan dan sah. Ia juga tidak juga tidak melanggar Perkara 5 (1) dan 8 (1) Perlembaga­an Persekutua­n,” katanya di sini, semalam.

Perkara 5 (1) Perlembaga­an Persekutua­n memberi jaminan tiada seorang pun boleh dilucutkan kebebasan dirinya, kecuali mengikut undang-undang. Manakala, Perkara 8 (1) menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindung­an yang sama mengikut undang-undang.

Mahkamah memerintah­kan Guan Eng yang diwakili Gobind Singh Deo dan Li Koon menerusi peguamnya, Datuk V Sithambara­m, mengemukak­an pernyataan pembelaan dalam tempoh 14 hari mulai semalam atau sebelum 21 Mac ini. Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud.

Pada 6 Januari lalu, Guan Eng dan Li Koon memfailkan notis usul untuk mengisytih­arkan Seksyen 62 itu sebagai tidak berperlemb­agaan dan tidak sah.

Seksyen 62 menetapkan tertuduh perlu menyerahka­n antara lain pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraa­n.

Pada 30 Jun lalu, Guan Eng, 57, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitka­n penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

 ?? [FOTO DANIAL SAAD/BH] ?? Masri (kanan) bersama kumpulan pendakwaan hadir untuk pengurusan kes rasuah membabitka­n Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.
[FOTO DANIAL SAAD/BH] Masri (kanan) bersama kumpulan pendakwaan hadir untuk pengurusan kes rasuah membabitka­n Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia