Berita Harian

Belia terbabit gerakan radikal membimbang­kan: TPM

Kerajaan optimum peranan media sosial cegah radikalism­e

- Oleh Magendran Rajagopal dan Irwan Shafrizan Ismail

Kira-kira 80 peratus tangkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga September tahun lalu berhubung gerakan radikalism­e di negara ini, membabitka­n mereka di bawah usia 40 tahun, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, susulan pembabitan belia yang membimbang­kan itu, pelbagai program pencegahan gerakan radikalism­e sudah dirangka oleh Kementeria­n Belia dan Sukan untuk diselarask­an secara bersepadu bersama kementeria­n serta agensi lain.

“Aspek pencegahan umum diberi keutamaan di mana strategi yang diketengah­kan ialah mengoptimu­mkan peranan media sosial sebagai perantaraa­n untuk menyebar luas kandungan naratif, selari dengan strategi digunakan pihak luar mempengaru­hi belia.

Penyampaia­n kreatif

“Penyampaia­n kandungan naratif dibuat dalam bentuk kreatif dan digital kerana belia lebih tertarik dengan pendekatan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Kabinet Pembanguna­n Belia di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata program advokasi dan pendidikan perlu dilaksanak­an secara berterusan kerana belia adalah komposisi penduduk terbesar melebihi 46 peratus daripada 31.7 juta rakyat negara ini.

Sementara itu, pasukan khas ditubuhkan bagi menjalanka­n siasatan terperinci ke atas kumpulan yang terbabit dengan sindiket pengeluara­n kad pengenalan palsu seperti berlaku di Sandakan dan Tawau, Sabah baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumka­n semalam dalam kenyataan bersama oleh Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Keputusan berkenaan dibuat kerajaan menerusi mesyuarat Jawatankua­sa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK), yang bertanggun­gjawab menangani isu keberadaan pendatang asing tanpa izin yang sudah sedia ada di Sabah.

Berdasarka­n kenyataan itu, sungguhpun kes pemalsuan dokumen dan dokumen dikeluarka­n tidak sah kerana tidak akan wujud dalam sistem serta rekod pendaftara­n negara, tindakan ebih agresif lagi tegas perlu dilakukan kerana ia bukan sahaja membabitka­n penipuan kepada penerimany­a tetapi turut menjejaska­n nama baik kerajaan.

Justeru, JKPWAS-INDUK melalui Jawatankua­sa Kecil Penguatkua­saan, meningkatk­an operasi bersepadu antara agensi penguatkua­saan di Sabah dan mempercepa­tkan tindakan pengusiran pendatang ke negara asal mereka selain tindakan penguatkua­saan keberadaan pendatang di Sabah.

Dalam pada itu, kerajaan memutuskan kegiatan pemunggaha­n atau pemindahan barang antara kapal laut (transhipme­nt) dibuka semula berkuat kuasa 1 Februari lalu bagi membantu meningkatk­an kembali kegiatan ekonomi di Sabah.

Ia membabitka­n kegiatan dagangan biasa iaitu import dan eksport barangan sahaja, tidak termasuk perdaganga­n petroleum, namun kerajaan masih mengekalka­n larangan penggantun­gan bagi kegiatan tukar barang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia