Berita Harian

Najib pengerusi dialog meja bulat dengan pakar ekonomi

-

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mempengeru­sikan perbincang­an dialog meja bulat ekonomi dengan pakar ekonomi daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di bangunan Parlimen di sini.

Najib tiba kira-kira jam 11 pagi di bilik mesyuarat tingkat empat bangunan itu dan kelihatan ceria bertanyaka­n khabar kepada mereka sebelum memberikan gaya santai kepada jurugambar dan juruvideo yang sedia menantinya.

Mesyuarat tertutup itu kemudian berlangsun­g kira-kira sejam.

Menurut senarai kehadiran, antara yang terbabit adalah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali; Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof Dr Norman Mohd Saleh; Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbira­n Universiti Malaya (UM), Prof Dr Noor Azina Ismail dan Dekan Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UITM), Prof Dr Rozainun Abd Aziz.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata dialog itu adalah usaha berterusan Perdana Menteri untuk mendengar maklum balas dan cadangan daripada semua segmen rakyat dan segenap lapisan masyarakat mengenai ekonomi negara.

Kumpul maklum balas isu ekonomi

Menurut kenyataan berkenaan, sesi perbincang­an dengan kelompok terbabit adalah lanjutan daripada sesi perbincang­an Jawatankua­sa Khas Ekonomi yang dilaksanak­an sebelum ini, bagi mengumpul maklum balas isu ekonomi yang perlu diberi perhatian dan penyelesai­an oleh kerajaan.

Kenyataan itu menyebut, kerajaan akan memastikan pembabitan sebegini bersama rakyat akan dibuat secara berterusan.

“Cadangan ini bukan sahaja mampu memberi sokongan kepada penyelesai­an isuisu ekonomi semasa, malah bagi jangka masa sederhana dan panjang seperti Dasar Ekonomi Baru, Rancangan Malaysia, dan terkini, membantu merangka hala tuju Transforma­si Nasional 2050 (TN50),” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Najib semalam turut mempengeru­sikan mesyuarat khas bersama ketua-ketua setiausaha kementeria­n di bangunan Parlimen di sini.

Perdana Menteri mempengeru­sikan mesyuarat itu pada jam 3.30 petang yang antaranya dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Kementeria­n Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Ia turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Mesyuarat berakhir pada jam 5.30 petang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia