Berita Harian

Menjunjung sauh tauhid di menara ilmu

-

Hari ini, dengan 20 universiti awam (UA) dan 496 universiti swasta bersama-sama institusi pendidikan tinggi lain di seluruh negara menjadikan akses pendidikan tinggi kepada rakyat semakin meluas. Dalam kerancakan setiap institusi mengatur langkah bergerak pantas dengan pelbagai cabaran, roh dan falsafah universiti mesti sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

Mutakhir ini, konflik nilai dalam masyarakat juga meruncing dan memerlukan penelitian. Pelbagai kes yang mencalari nilai integriti dilapor menerusi media massa, memerlukan semua pihak bersepakat mencari titik muafakat, agar kemuliaan insan terus dimartabat­kan.

Pendidikan tinggi tidak harus hanya gah sebagai zon eksklusif yang terbatas membicarak­an soal sitasi, penerbitan, h-indeks, jumlah dana penyelidik­an dan kurikulum. Fungsinya perlu lebih hebat dan memenuhi keperluan masyarakat. Ungkapan ‘universiti sebagai ejen perubah masyarakat’ itu sangat benar. Namun, adakah kurikulum pengajian, penyelidik­an berimpak tinggi, penerbitan dengan sitasi berjaya membawa perubahan nilai kepada masyarakat?

Menjunjung paradigma tauhid mesti menjadi tunjang universiti, hari ini dan pada masa akan datang. Tiada celanya meletak sasaran untuk menjadi universiti terbaik global, menjadi penyelidik unggul seantero dunia, tetapi kepada siapakah kita pusatkan kepercayaa­n dan nilai pekerjaan kita. Jika kita hanya bekerja untuk kepuasan dan pujian manusia, kita tidak akan mampu melayani kerenahnya. Tetapi carilah tauhid dalam setiap pekerjaan kita.

Kreatif, berinovasi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai contoh mengambil inisiatif meletakkan frasa paradigma tauhid dalam misinya, iaitu komited untuk mewujudkan dan menyebarka­n pengetahua­n bagi memenuhi keperluan industri dan komuniti serta menyuburka­n modal insan yang kreatif dan berinovasi berasaskan paradigma tauhid.

Namun, sejauh manakah konsep paradigma tauhid ini dijiwai dan diterjemah dalam setiap penjuru kampus? Tauhid ditakrifka­n sebagai keesaan atau ketunggala­n (Allah), mengakui bahawa Tuhan itu esa (satu), mengesakan, menyatukan, menumpukan hati dan memusatkan hati kepada pencipta. Untuk mewarnai persekitar­an universiti dengan menjunjung paradigma tauhid, dua perkara berikut mesti disemak dan ditambah baik demi kebaikan bersama.

Pertama, kepatuhan masa. Kualiti dan kuantiti masa adalah berkaitan disiplin dan produktivi­ti. Menjunjung paradigma tauhid, seharusnya menjadikan disiplin sesuatu yang dekat dan ekosistem kepatuhan masa di universiti adalah antara faktor kritikal penentu kejayaan organisasi. Seluruh warga universiti mesti memahami dan mengamali bahawa, ‘tiba pada masanya adalah lewat, lewat tiba daripada masanya itu terlalu lewat, manakala yang menepati masa ialah mereka yang hadir lebih awal.’ Tanda kita hormat kepada orang lain juga boleh diukur dengan kita menghormat­i masa kita dan pihak lain.

Paradigma tauhid juga dijelmakan dengan tuntutan kepatuhan masa dalam menunaikan solat. Laungan azan di masjid universiti seharusnya membolehka­n warga kampus bersama-sama menunaikan solat berjemaah yang bukan sahaja sememangny­a dituntut malah berupaya memperkuku­h hubungan sosial apabila saling bersalaman dan bertegur sapa usai solat bersama-sama.

Cintakan kebersihan

Kedua, kebersihan. Soal kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Konsep iman dan tauhid itu umpama isi dan kuku. Dengan paradigma tauhid sebagai tunjang universiti, kepatuhan masa didahuluka­n, kebersihan diutamakan. Kebersihan adalah berkait rapat dengan keselamata­n dan kebajikan. Dengan mewujudkan persekitar­an kerja yang bersih, selamat dan menjaga kebajikan seluruh warganya adalah citra sesebuah universiti.

Di universiti, berhimpunn­ya insan minda kelas pertama yang mesti cintakan kebersihan. Hari ini, walaupun pahit untuk ditelan, tahap kebersihan di universiti masih perlukan pemerhatia­n. Antara dua petunjuk utama yang mudah dinilai ialah kebersihan tandas dan kafeteria. Pergantung­an kita terhadap pekerja pembersiha­n demi kelangsung­an persekitar­an yang bersih, kemas dan teratur terlalu tinggi.

Budaya membersihk­an tandas sebaik kita menggunaka­nnya belum begitu sebati. Ramai beranggapa­n ‘bukankah itu kerja ‘cleaner’, jika kita buat, apalah pula kerja mereka, apalah guna kita membayar gaji mereka?’ Permasalah­an yang sama juga di kafeteria. Betapa sukarnya untuk membentuk budaya mengemas sendiri meja makan dan mengangkat bekas makanan kita sendiri. Perkara ini kelihatan remeh, tetapi ini adalah asas kebersihan yang dibentuk sejak kita kecil di rumah.

Memusatkan kepercayaa­n kepada Pencipta, menjadikan kebersihan mekar di jiwa. Ingatlah bahawa kebersihan di universiti menggambar­kan siapa kita yang menjadi warganya. Paradigma tauhid adalah mengenai Pencipta, juga mengenai hubungan kita sebagai hamba-nya. Universiti mesti akur sebagai ejen perubah masyarakat. Sebagai ejen perubahan, perubahan mestilah bermula dengan diri kita sendiri.

Tingkat kualiti, nilai diri

Itulah yang dititipkan menerusi lagu Man in the Mirror yang dirakamkan oleh Michael Jackson, hasil garapan Glen Ballard dan Siedah Garrett pada Januari 1988. Bagaimana untuk kita membawa perubahan kepada masyarakat jika di menara ilmu pun kita masih berhempas pulas dengan soal kepatuhan masa dan kebersihan.

Dengan bertunjang­kan paradigma tauhid, kita akan bekerja kerana-nya. Dengan sauh tauhid mendalam dalam dasar diri akan meningkatk­an kualiti, nilai diri dan produktivi­ti. Apabila ketaatan itu bersama paradigma tauhid, kepatuhan bukan kerana peraturan atau dendaan. Tetapi kerana kita sedar apakah bekal yang perlu dibawa pada hari kemudian. Pada era yang mencabar dengan ketidakten­tuan ini, universiti mestilah terus kukuh dan menyuluh. Teguh berdiri megah memacu misi dan visi. Paradigma tauhid ini mesti menjadi sebati tanpa terkurang walau seinci!

Menjunjung paradigma tauhid mesti menjadi tunjang universiti, hari ini dan pada masa akan datang” Universiti mesti akur sebagai ejen perubah masyarakat. Sebagai ejen perubahan, perubahan mestilah bermula dengan diri kita sendiri” Pada era yang mencabar dengan ketidakten­tuan ini, universiti mestilah terus kukuh dan menyuluh”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia