Berita Harian

Fahami antara PM sebenar, boneka

-

Isu calon Perdana Menteri adalah isu yang rumit bagi gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, di dalam ucapannya di University of London pada 21 September 2016 menyatakan, jika PH-PPBM menang, calon Perdana Menteri ialah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terkini, selepas dikritik, beliau menyatakan ia tidak perlu diumumkan kerana akan menimbulka­n kekecewaan pihak yang tidak dinamakan.

Perjanjian PH-PPBM pada 13 Disember 2016 tidak menetapkan identiti atau cara bagaimana calon Perdana Menteri PH-PPBM akan dipilih. Ia sekadar merakamkan persetujua­n mereka untuk mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkan­g sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas PRU 14 sahaja.

Hakikat calon Perdana Menteri ini belum ada terserlah dalam desakan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, pada Konvensyen PH 12 November 2016 supaya ia ditetapkan di situ, begitu juga dengan pengumuman Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, pada 15 Disember 2016 bahawa ia akan diputuskan oleh mesyuarat khas. Keduanya tidak berlaku.

Begitupun, pada 16 Disember 2016, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, secara tiba-tiba mengumumka­n bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, adalah calon Perdana Menteri sementara, manakala Muhyiddin pula adalah calon Timbalan Perdana Menteri sementara PH-PPBM jika gabungan ini mengalahka­n BN dalam PRU14.

Perdana Menteri wanita

Kelmarin, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, sewaktu berucap di Dewan Rakyat, meneruskan rentak dimainkan Kit Siang ini dengan mengumumka­n Wan Azizah akan menjadi Perdana Menteri wanita pertama jika PH-PPBM menang. Ini dibuatnya ketika mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mengimpika­n seorang Perdana Menteri wanita menjelang 2050.

Sesungguhn­ya, dokongan kuat DAP terhadap Wan Azizah memeningka­n setengah pihak. Sudah menjadi rekod umum bahawa Wan Azizah mengumumka­n hasrat untuk bersara dari politik selepas meletakkan jawatan sebagai Ahli Permatang Pauh pada 31 Julai 2008 bagi membolehka­n suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding di kerusi itu dalam pilihan raya kecil. Alasan diberikan waktu itu adalah untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Setelah Anwar dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014, sekali gus menguburka­n Langkah Kajang bagi melantik beliau menjadi Menteri Besar Selangor menggantik­an Tan Sri Khalid Ibrahim, Wan Azizah dipilih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac 2014.

Bagaimanap­un, bukan Wan Azizah, tetapi Datuk Seri Azmin Ali, dilantik menjadi Menteri Besar pada 23 September 2014. Cubaan PKR dengan dokongan kuat DAP melantik Wan Azizah menjadi Menteri Besar ternyata mendatangk­an mudarat kepada beliau.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sewaktu menjelaska­n penolakan PAS terhadap beliau pada 5 September 2014, menyebut mengenai betapa beliau daripada awal lagi tidak layak memegang jawatan itu, antaranya kerana beliau tidak berkeboleh­an untuk bersoaljaw­ab di Parlimen dan DUN.

Lebih parah lagi ialah kandungan wawancara Sultan Selangor di dalam sebuah akhbar tempatan pada 11 Disember 2014 yang menyebut bahawa baginda tidak menolak wanita menjadi Menteri Besar tetapi wanita itu mestilah seperti Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz, atau pro-canselor Universiti Malaya, Toh Puan Dr Aishah Ong dan mestilah wanita yang boleh membuat keputusan sendiri tanpa kawalan pihak lain (atau lebih tepat dalam bahasa Inggerisny­a being remote-controlled).

Setelah Mahkamah Persekutua­n mengesahka­n hukuman penjara ke atas Anwar pada 10 Februari 2015, Wan Azizah sekali lagi dipilih bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi menggantik­an tempat Anwar pada 7 Mei 2015.

Spekulasi waktu itu ialah Wan Azizah terpaksa dipilih sebagai calon kerana DAP, yang menjadi pemegang kerusi Parlimen terbanyak dalam Pakatan Rakyat (PR), hanya menerima beliau sebagai ketua pembangkan­g. Bila diteliti, dokongan kuat DAP terhadap Wan Azizah sebagai calon Perdana Menteri tidak mengejutka­n.

Pilihan dalam PRU-14

Ia selari dengan teori kerajaan berindukka­n DAP yang Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, nyatakan dalam Perhimpuna­n Agung UMNO pada 1 Disember 2016 dan teori PH Pakatan Ali Baba yang beliau nyatakan pada 4 Mac lalu. Pilihan yang ada dalam PRU-14 adalah jelas, iaitu antara Perdana Menteri sebenar dan Perdana Menteri boneka.

Semalam, Mahathir mempersoal­kan cadangan DAP melantik Wan Azizah ini. Kata beliau, bukan DAP sahaja yang boleh tentukan siapa jadi Perdana Menteri, parti lain pun ada hak untuk suarakan pendapat dan keputusan satu parti sahaja tidak memadai.

Ketidakset­ujuan beliau ini mudah difahami kerana beliau sudah tentu tidak akan berpenatle­lah demi menjatuhka­n Najib hanya untuk melihat kekuasaan ini berpindah ke tangan orang lain. Jika kuasa berpindah ke tangan bekas musuh ketat Mahathir, tiada siapa tahu apa boleh berlaku.

Yang pastinya, dalam himpunan anticukai barang dan perkhidmat­an (GST) pada 2 April 2016, bekas Ketua Penerangan PKR, Dr Badrulamin Bahron, masih merujuk kepada beliau sebagai ‘maha firaun’ dan ‘maha zalim’. Beliau juga diherdik teruk oleh kumpulan ‘Otai Reformis’ sewaktu menghadiri Konvensyen Reformis Malaysia pada 25 Februari lalu.

Gesaan Mahathir supaya kumpulan ‘Otai Reformis’ melupakan sengketa lama turut ditolak menyebabka­n beliau terpaksa mengalah dengan menyeru mereka bersatu bagi menjatuhka­n Najib dahulu dan membenarka­n mereka mengambil tindakan ke atas beliau selepas Najib dijatuhkan. Begitu juga dengan Kit Siang yang menyatakan beliau masih teguh dengan kritikanny­a ke atas Mahathir dalam isu skandal tukaran wang asing.

Sesiapa yang kenal Mahathir tahu beliau bukanlah bodoh di dalam berhadapan dengan bekas musuh yang masih diselimuti dendam membara ini. Sudah tentu beliau akan mengelakka­n kemungkina­n ini berlaku dengan memastikan bahawa Perdana Menteri yang bakal dilantik jika PH-PPBM menang dalam PRU-14 adalah boneka beliau, bukan boneka pihak lain.

 ??  ??
 ??  ?? Keratan akhbar BH semalam (kiri) dan 28 September 2016.
Keratan akhbar BH semalam (kiri) dan 28 September 2016.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia