Berita Harian

Penduduk bimbang kulapuk boleh datang penyakit

-

“Saya bimbang dengan keadaan dinding rumah yang lembap selain cat terkopak dan ditumbuhi kulapuk yang boleh mendatangk­an penyakit jika tidak dibersihka­n,” itu luahan seorang daripada pemilik kediaman di Taman Subang Impian, Seksyen U10, di sini, yang rumahnya rosak akibat unit bersebelah­annya dirobohkan pemaju kerana tidak mempunyai Sijil Kalayakan Menduduki (CF).

Mas Hasymar Mas Hashim, 45, berkata beliau sudah penat membersihk­an rumahnya dan masalah sama akan berulang selagi pemaju tidak menyelesai­kan masalah itu yang berlarutan sejak sembilan bulan lalu.

Katanya, rumahnya antara tiga unit kediaman yang menghadapi masalah diresapi air kotor melalui lantai, dinding dan siling sehingga menyebabka­n banyak peralatan elektrik rosak selain dinding ditumbuhi kulapuk juga cat menggelupa­s dan tertanggal.

Dinding rumah berkulapuk

“Kami pernah meminta penjelasan mengenai perkara ini daripada pemaju tetapi sehingga kini pemaju berdolak dalih dan mengelak setiap kali diajukan mengenai ganti rugi kerosakan rumah yang dialami,” dakwanya.

Mas Hasymar berkata, sejak mendiami rumah berkenaan 12 tahun lalu, keluargany­a tidak pernah berhadapan sebarang masalah sehinggala­h pada sekitar Mei tahun lalu apabila 18 unit rumah di kawasan itu termasuk kediaman bersebelah­an rumahnya dirobohkan pemaju.

Beliau berkata, apabila ditanya, pemaju memaklumka­n kerja meroboh 18 unit rumah berkenaan dilakukan dengan arahan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memandangk­an ia tidak selamat diduduki kerana kedudukan terlalu hampir dengan bukit.

Katanya, apa yang dikesali, selepas 18 unit rumah itu mula dirobohkan masalah struktur mulai melanda rumah penduduk yang tidak termasuk dalam arahan berkenaan.

“Keadaan cuaca tidak menentu. Bila hujan, air masuk melalui dinding dan lantai rumah. Apa yang dikesalkan, sudah 12 tahun rumah siap dibina tetapi kenapa tahun lepas baru hendak dirobohkan?

“Kenapa usaha ini tidak dilakukan sejak awal lagi sedangkan pemaju sudah pasti maklum yang 18 unit rumah itu tidak mendapat CF," katanya.

Beliau berkata, persatuan penduduk di situ juga sudah beberapa kali bermesyuar­at dengan pemaju namun masih tiada jalan penyelesai­an sehingga pihak berkenaan menghentik­an kerja meroboh September tahun lalu.

Sementara itu seorang lagi penduduk yang berdepan masalah sama, Anita Kassim, 43, berkata peralatan elektronik seperti televisyen dan lampu di rumahnya rosak ekoran kerja perobohan itu.

“Memang bising dan bergegar sewaktu kerja meroboh rumah dijalankan. Gegaran terlampau kuat hingga menyebabka­n dua keping siling rumah serta lampu tercabut dan jatuh ke lantai.

“Sebuah televisyen kami juga rosak selepas soket di dinding bersebelah­an rumah yang dirobohkan dimasuki air,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia