Berita Harian

Sempadan Malaysia-thailand tidak boleh dibolosi: TPM

Malaysia mampu tangkis ancaman luar, penceroboh­an kawasan

- Laporan Nazura Ngah, Mohd Nasaruddin Parzi dan Faris Fuad bhnews@bh.com.my Kuala Lumpur

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keselamata­n sempadan Malaysia-thailand adalah terkawal dan pihak berkuasa berupaya menangkis sebarang ancaman luar yang cuba menceroboh sempadan negara.

Penegasan Timbalan Perdana Menteri itu dinyatakan dalam jawapan bertulis kepada soalan Nasrudin Hassan (Pas-temerloh) di Dewan Rakyat, semalam.

Nasrudin meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan keadaan keselamata­n di sempadan Malaysia-thailand dan langkah dilaksanak­an bagi meningkatk­an jaminan keselamata­n khususnya di pintu masuk negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata keselamata­n di sempadan Malaysia sentiasa diberi perhatian khusus.

Bagaimanap­un, katanya, pada masa yang sama keupayaan kewangan kerajaan perlu diberi perhatian dengan mengambil kira kos yang tinggi bagi menyediaka­n prasarana serta kekuatan pasukan penguatkua­saan.

“Kementeria­n Dalam Negeri sentiasa melihat isu keselamata­n sempadan serta kedaulatan negara sebagai elemen yang signifikan kepada kesejahter­aan hidup rakyat dan pembanguna­n negara secara berterusan.

“Malaysia tidak terkecuali dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamata­n dan kedaulatan negara.

“Justeru, keselamata­n sempadan diperketat dari semasa ke semasa supaya tidak mudah dibolosi anasir luar yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara,” katanya.

Kerajaan sentiasa fokus

Ahmad Zahid berkata, kerajaan sentiasa memberi fokus supaya sempadan Malaysia-thailand sentiasa terkawal dengan mengambil pendekatan dan langkah sewajarnya.

Antaranya, penubuhan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebagai satu inisiatif bagi meningkatk­an kawalan di sempadan bagi mencegah kegiatan penyeludup­an.

Agensi penguatkua­saan di bawah AKSEM adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Katanya, bagi menentukan hala tuju AKSEM, Akta AKSEM akan digubal bagi memperkuku­h serta memperluas skop memerangi kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pendekatan lain ialah melaksanak­an kajian untuk menaik taraf pagar keselamata­n dan pembinaan pagar keselamata­n baharu di sempadan dengan memberi tumpuan penggunaan peralatan canggih seperti dron, kamera litar tertutup (CCTV), mesin pengimbas untuk mengesan pergerakan dan barangan yang dibawa masuk dan keluar Malaysia.

“Kerajaan juga menubuhkan Unit Risikan Sempadan yang berfungsi untuk mendapatka­n maklumat risikan dan bekerjasam­a dengan pihak berkuasa Thailand untuk bertukar-tukar maklumat antara kedua-dua negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia