Berita Harian

Kerajaan Selangor gagal periksa balas Pengerusi SPR

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Kerajaan Selangor untuk memeriksa balas Pengerusi Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkaitan cadangan persempada­nan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Kerajaan negeri diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memohon perisytiha­ran, cadangan persempada­nan semula berdasarka­n kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi Perlembaga­an dan tidak selaras Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembaga­an Persekutua­n.

Ia juga memohon perisytiha­ran, kegagalan SPR menggunaka­n rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempada­nan semula itu sebagai melanggar Perlembaga­an dan tidak selaras Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas.

Permohonan itu atas alasan tindakan SPR bertentang­an dengan Perlembaga­an, tidak wajar dan tidak rasional berlandask­an Perkara 113(2), sekali gus memohon perisytiha­ran cadangan persempada­nan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor batal dan tidak sah.

Hakim Azizul Azmi Adnan menolak permohonan Kerajaan Selangor untuk melakukan pemeriksaa­n balas terhadap Mohd Hashim berhubung isu 136,272 pengundi tanpa alamat selepas memutuskan ia boleh dibangkitk­an tanpa perlu melalui sesi berkenaan.

Dibenarkan dapat maklumat SPR

Beliau bagaimanap­un membenarka­n permohonan kerajaan negeri untuk mendapatka­n maklumat daripada SPR berhubung perubahan lokaliti (daerah mengundi) membabitka­n 136,272 pengundi ketika persempada­nan semula pada 1993 dan 2004.

Mahkamah turut membenarka­n permohonan kedua-dua pihak untuk menggantun­g prosiding semakan kehakiman itu sementara masing-masing mengemukak­an rayuan berhubung keputusan semalam.

SPR diwakili Peguam Kanan Persekutua­n, Datuk Amarjeet Singh, manakala Datuk S Ambiga mewakili Kerajaan Selangor. Yang turut dinamakan sebagai responden ialah Setiausaha Agung SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia