Berita Harian

Usahawan muda perlu mendepani perubahan, jadi pembimbing

Usaha capai matlamat pertumbuha­n ekonomi ditetapkan di bawah Transforma­si Nasional 2050

- Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Zanariah Abd Mutalib bhnews@bh.com.my

Usahawan muda hari ini perlu sentiasa mendepani perubahan dan menjadi pembimbing kepada bakal usahawan dalam usaha mencapai matlamat pertumbuha­n ekonomi ditetapkan di bawah Transforma­si Nasional 2050 (TN50).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata golongan itu perlu menjangka perubahan akan berlaku terutama dari segi teknologi dan hala tuju bidang diceburi dalam tempoh 30 tahun akan datang.

“Ia bukan hanya berkisar mengenai membawa rumusan melalui perniagaan sedia ada, sebaliknya harus memikirkan perubahan yang akan berlaku.

“Sebagai contoh, dalam industri sukan, kita bukan hanya perlu memikirkan teknologi hari ini... umpamanya untuk memberi perkhidmat­an kecergasan kepada mereka yang tidak mampu, kita juga harus memikirkan teknologi dari segi kecerdasan buatan yang akan jadi model kepada sektor kecergasan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ‘TN50X: Dialog Bersama Usahawan Muda’, di sini, semalam, anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGIC), yang dihadiri kira-kira 300 usahawan pelbagai bidang selain Ketua Pegawai Eksekutif MAGIC, Ashran Ghazi.

Jelas Khairy, beliau kagum dengan aspirasi disampaika­n peserta pada sesi dialog berkenaan dan antara yang menarik perhatian beliau termasuk dalam bidang pertanian serta nilai tambah.

“Saya lihat aspirasi pertanian disampaika­n bukan hanya mengenai teknologi terkini tetapi juga dapat menjawab isu keselamata­n makanan pada masa depan melalui teknologi penanaman dan pemasaran.

“Selain itu, ada peserta yang mahu melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang menyokong perniagaan mapan, di mana nilai tambah bukan hanya dari segi kos yang rendah tetapi juga pasaran produk dan perkhidmat­an menggunaka­n pendekatan mapan,” katanya.

Khairy memaklumka­n, siri dialog TN50 seterusnya akan diadakan di Sarawak Sabtu ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Sementara itu, pada Dialog TN50 peringkat negeri Perak yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UITM) Seri Iskandar, malam kelmarin, Khairy berkata, Kementeria­n Belia dan Sukan menerima maklum balas amat memberangs­angkan daripada generasi belia dan remaja terhadap agenda Transforma­si Nasional 2050.

Kemuka aspirasi

Katanya, ia berdasarka­n penyertaan aktif golongan itu pada empat siri dialog TN50 setakat ini, malah mereka turut mengemukak­an aspirasi masing-masing menerusi saluran khas diwujudkan di media sosial untuk tujuan itu.

“Semua aspirasi ini dikumpul mengikut keutamaan sebelum diteliti dan dinilai pakar yang akan dilantik nanti,” katanya.

Terdahulu, pada program yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir itu, Khairy berkata, aspirasi diluahkan golongan muda pada siri dialog berkenaan akan menjadi dokumen TN50 yang dijangka dilancarka­n tahun depan.

“Malaysia perlu ada generasi dengan jati diri kuat dan identiti jelas walaupun negara mencapai tahap teknologi tinggi pada tahun 2050. Ia boleh dicapai jika generasi muda kini dan akan datang ada kekuatan dalaman seimbang menerusi penguasaan agama, ilmu, sains dan teknologi yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata, negara memerlukan generasi yang percaya Malaysia akan mencapai kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

“Aspirasi saya pada 2050 antaranya ingin melihat ada universiti Malaysia disenarai dalam 20 universiti terbaik dunia, ada saintis tempatan terima Anugerah Nobel dan pasukan bola sepak kita layak ke Piala Dunia,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, dialog seperti itu memperliha­tkan nilai baharu dalam jiwa anak muda iaitu keyakinan diri untuk bertanyaka­n soalan dan memberikan pendapat.

“Apa diimpikan ialah memiliki generasi berpemikir­an bijaksana, kekuatan rohani hebat dan fizikal perkasa.

Malaysia juga mungkin boleh mencontohi Jepun yang terkenal dengan kehebatan teknologi, tapi masih kekalkan warisan adat budaya turun temurun,” katanya.

Ia bukan hanya berkisar mengenai membawa rumusan melalui perniagaan sedia ada, sebaliknya harus memikirkan perubahan yang akan berlaku” Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] ?? Khairy bersama usahawan muda pada sesi Dialog Transforma­si Nasional 2050 di Cyberjaya, semalam.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] Khairy bersama usahawan muda pada sesi Dialog Transforma­si Nasional 2050 di Cyberjaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia