Berita Harian

Suspek kes culik paderi ditangkap selepas minta wang tebusan

-

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan kes penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo, yang dilaporkan hilang hampir sebulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat, berkata suspek ditahan di kawasan Ampang pada jam 3.30 pagi semalam.

Katanya, tangkapan itu dibuat hasil maklumat keluarga mangsa selepas suspek didakwa menghubung­i mereka kelmarin dan meminta sejumlah wang tebusan.

“Menurut keluarga mangsa, suspek ada menghubung­i mereka semalam (kelmarin) dan meminta sejumlah wang untuk pembebasan paderi itu.

“Berdasarka­n maklumat itu, kami berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Direman empat hari

Abdul Samah berkata, suspek direman empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menculik atau melarikan secara paksa dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Katanya, siasatan masih dilakukan bagi mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

“Kami juga meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes ini, sebaliknya membantu menyalurka­n maklumat kepada polis,” katanya.

Raymond, 62, dipercayai diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu.

Laporan turut menyebut paderi itu kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Honda Accord seorang diri sebelum kejadian.

 ??  ?? Abdul Samah Mat, Ketua Polis Selangor
Abdul Samah Mat, Ketua Polis Selangor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia