Berita Harian

Enakmen Lambang, Gelaran dilulus

Semua 15 fasal dibentang dapat sokongan majoriti wakil rakyat

-

Laporan Zuraidah Mohamed dan Mohd Fahmi Mohd Yusof

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam meluluskan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

Rang Undang-undang itu diluluskan selepas semua 15 fasal dalam enakmen berkenaan dibacakan dengan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas dibentangk­an Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Enakmen itu disokong semua 36 wakil rakyat Barisan Nasional (BN), tiga wakil PAS dan seorang wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), manakala 13 wakil rakyat DAP dan masing-masing seorang wakil rakyat Parti Amanah Negara dan PKR menolak.

Kerajaan Johor membentang­kan rang undang-undang baharu berkenaan bagi mengelak penyalahgu­naan lambang, gelaran dan anugerah oleh pihak tidak bertanggun­gjawab.

Antara fasal dalam enakmen itu termasuk larangan penggunaan tidak wajar lambang, gelaran atau anugerah, menggunaka­n gelaran atau anugerah yang dibatalkan atau ditarik balik dan membuat lambang atau tanda kebesaran anugerah tidak diiktiraf.

Buat lambang tidak diiktiraf

Enakmen berkenaan turut menyebut mengenai penghasila­n peralatan untuk membuat lambang atau tanda kebesaran anugerah tidak diiktiraf dan memiliki peralatan atau material untuk membuat lambang atau tanda kebesaran anugerah tidak diiktiraf.

Terdahulu pada sesi soal jawab, Mohamed Khaled berkata, istilah ‘Team Johor’ bukan usaha menidakkan gagasan Bangsa Johor yang sekian lama diguna pakai negeri ini, sebaliknya secara jelas membawa maksud berbeza.

Menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Parti Amanah Negara-parit Yaani), beliau berkata, Bangsa Johor menaungi semua penduduk, manakala ‘Team Johor’ mewakili mereka yang bersetuju memegang aspirasi, objektif bersama bagi memajukan negeri ini.

Katanya, beliau hanya mengungkap fenomena yang dilihatnya membara di seluruh negeri, iaitu kebangkita­n rasa dan semangat untuk memperbaik­i Johor yang digerakkan secara muafakat oleh keseluruha­n rakyat bersandark­an visi Johor Berkemajua­n.

39 ADUN sokong Enakmen Lambang , Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

 ?? [FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM/BH] ?? Mohamed Khaled dikerumuni media selepas Mesyuarat Persidanga­n Dewan Negeri Johor Ke-13 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, semalam.
[FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM/BH] Mohamed Khaled dikerumuni media selepas Mesyuarat Persidanga­n Dewan Negeri Johor Ke-13 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia