Berita Harian

Cuti bersalin setahun penghargaa­n untuk ibu

Beri peluang wanita fokus asuh anak tanpa perlu berhenti kerja

- Oleh Nor Hatina Shuib

Cuti bersalin sehingga 365 hari yang diperkenal­kan sektor korporat kepada kakitangan wanita, dilihat sebagai inisiatif dan dasar baik serta bertepatan bagi memastikan wanita berjaya dalam beberapa dimensi kehidupan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata polisi diperkenal­kan itu juga dilihat membantu wanita meneruskan kerjaya tanpa perlu berhenti kerja kerana ingin menjaga anak yang dilahirkan.

“Pekerja wanita bukan sahaja tidak akan hilang kerjaya tetapi dapat mengasuh dan memberi penjagaan rapi kepada anak mereka supaya sihat.

“Jika mereka memilih untuk bercuti setahun, apabila kembali bekerja bayi mereka sudah pun berusia setahun,” katanya bagi mengulas tawaran cuti bersalin sehingga 365 hari diumumkan Maybank semalam, kepada kakitangan wanita yang layak, menerusi dasar baharu institusi kewangan itu.

Dasar penambahan hari cuti bersalin itu membolehka­n kakitangan layak, menyambung cuti sehingga setahun dengan 90 hari cuti bersalin sedia ada bersama gaji penuh, tambahan tiga bulan lagi dengan separuh gaji, seterusnya enam bulan tanpa gaji.

Ia menjadikan Maybank institusi kewangan pertama di Malaysia menawarkan faedah seumpama itu dan bermula Mac lalu.

Azih berkata, cuti bersalin ditawarkan institusi kewangan berkenaan boleh menjadi model perintis kepada badan swasta lain dan syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC), untuk mengikut jejak langkah sama.

“Ia berita baik kepada pekerja wanita swasta di negara ini. Bagaimanap­un, kerajaan sudah terlebih dahulu memberi penjawat awam wanita pilihan cuti tanpa gaji sehingga lima tahun untuk menjaga anak. Ia usaha baik bagi pihak swasta untuk golongan wanita di negara ini,” katanya.

Berkenaan pendapat yang mengatakan polisi baharu itu mungkin boleh menyebabka­n produktivi­ti kerja wanita merosot, beliau menyangkal dakwaan itu.

Prestasi tidak akan menurun

“Saya tidak setuju pendapat mengatakan prestasi kerja wanita akan menurun jika bercuti terlalu lama. Ia tidak ada kena mengena antara produktivi­ti dengan cuti diambil dan saya tidak nampak ia akan menghilang­kan semangat wanita untuk bekerja kembali. Selagi mereka ada semangat, mereka boleh menyumbang kepada produktivi­ti,” katanya.

Bagi Ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata jika diperhalus­i perkara itu ia lebih menjurus kepada kepentinga­n kesihatan dan pembelaan kepada bayi yang baru dilahirkan.

“Lagipun, tidak semestinya cuti diambil sehingga setahun. Tempoh cuti bergantung kepada kekuatan fizikal si ibu. Wanita diberi pilihan untuk tempoh masa bercuti dan ia satu penghormat­an kepada wanita. Saya yakin apabila kembali bekerja mereka akan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan. Kemahiran juga tidak berkuranga­n malah semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Dr Madeline Berma, berkata, sejajar dengan usaha murni ini, diharap institusi swasta lain turut memberi peluang kepada kakitangan wanita mahupun lelaki untuk menjaga ahli keluarga yang memerlukan khidmat bakti mereka.

“Pada masa sama, saya berharap cuti juga diberikan kepada suami yang bekerja di sektor korporat untuk menjaga anak,” katanya.

Sambut baik cadangan

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara, Norhimah Aziz, pula berkata sebagai wanita pastinya ia berita menggembir­akan untuk wanita apabila peluang ini sudah mulai dipraktikk­an di negara ini.

“Ketika di United Kingdom pada 1997, pekerja wanita di sana diberikan cuti enam bulan dan ketika itu cuti di Malaysia cuma 44 hari. Jadi, saya pernah terfikir betapa beruntungn­ya mereka,” katanya.

Beliau berkata, rasional kepada cuti setahun ini pastinya untuk memberi peluang kepada pekerja agar berupaya menjaga anak mereka hingga putus susu.

“Jika ia cuti berbayar, mungkin untung kepada pekerja tetapi kerugian kepada majikan dari sudut produktivi­ti. Jika setahun tanpa kerja mungkin wanita akan selesa di rumah dan mengakibat­kan kadar wanita meninggalk­an pekerjaan akan meningkat.

“Satu kerugian kepada negara, terutama jika mereka dari kalangan profesiona­l dan mungkin mereka akan ketinggala­n dari segi kepakaran,” katanya.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Wanita yang baru bersalin memerlukan waktu yang secukupnya untuk pulih dan menjaga bayi.
[FOTO HIASAN] Wanita yang baru bersalin memerlukan waktu yang secukupnya untuk pulih dan menjaga bayi.
 ?? [FOTO HIASAN] ?? Cuti bersalin setahun disambut baik oleh wanita bekerja.
[FOTO HIASAN] Cuti bersalin setahun disambut baik oleh wanita bekerja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia