Berita Harian

Bank Islam serah hadiah ‘Al Awfar 3Xtra Drive’

-

Kempen ‘Al Awfar 3Xtra Drive’ selama tiga bulan oleh Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) bermula Oktober hingga Disember tahun lalu menyumbang hampir 40 peratus daripada pertumbuha­n akaun pelaburan Al Awfar.

Ketua Perbankan Pengguna BIMB, Mujibburra­hman Abd Rashid, berkata menerusi kempen itu, pihaknya merekodkan lebih 130,000 akaun Al Awfar baharu dan menokok lebih RM420 juta deposit dalam suku keempat tahun lalu.

“Pada 2016, BIMB telah menetapkan strategi baharu dan mengadakan pelbagai promosi seperti kempen ini untuk menambah jumlah pendeposit kami.

“Hasilnya, deposit pelanggan meningkat sebanyak RM2.3 bilion tahun ke tahun kepada RM45.9 bilion bagi tahun kewangan 2016,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Cabutan bertuah tiga Mercedes Benz

Sempena kempen ‘Al Awfar 3Xtra Drive’ itu BIMB mengadakan cabutan bertuah pada Februari lalu untuk memilih pemenang hadiah utama iaitu tiga kereta mewah Mercedes Benz.

Pemenang kempen itu adalah Daszaimahl­ilah Zainudin yang membawa pulang kereta Mercedes Benz CLA 200; Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid (Mercedes Benz A 250 Sport CBU) dan Nurul Ain Mustaff (Mercedes Benz C 200 Avantgarde).

Mujibburra­hman berkata, hasil pemasaran agresif untuk akaun pelaburan Al Awfar juga menyaksika­n akaun pelaburan runcit dan bukan individu mencatat pertumbuha­n sebanyak RM3.1 bilion.

“Dengan matlamat untuk meningkatk­an lagi prestasi perniagaan Bank Islam di samping mengekalka­n hubungan yang baik dengan pelanggan, pihak Bank akan terus menyediaka­n pelbagai tawaran menarik dan kempen yang memberi manfaat kepada pelanggan kami,” katanya.

Mekanisme berbeza

Mujibburra­hman berkata, mekanisme kempen ‘Al Awfar 3Xtra Drive’ berbeza daripada semua kempen sebelumnya yang mana ia bukan saja mengambil kira jumlah pelaburan yang disimpan, tetapi ia juga memberikan unit kelayakan yang berbeza bagi setiap bulan ia dilaburkan.

“Ini memberi peluang yang lebih tinggi kepada pemegang akaun baharu dan sedia ada untuk memenangi hadiah utama.

“Dengan hanya pelaburan minimum RM1000, peserta juga layak untuk cabutan bulanan, peringkat wilayah dan suku tahunan bagi hadiah wang tunai bernilai lebih daripada RM9 juta sepanjang tahun, selain dari tiga hadiah utama untuk kempen ini,” katanya.

Pada majlis yang sama, BIMB juga mengumumka­n kesinambun­gan kempen itu dengan kempen baharu iaitu kempen ‘Al Awfar 3Xtra Drive 2017’ yang akan bermula pada April tahun ini.

Kempen ini menawarkan tiga kereta AUDI 4 Sedan 2.0 TFSI, sebuah kereta bagi setiap baki suku 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia