Berita Harian

Bangsoda ikut acuan sendiri

-

Enggan mengaku kalah, bakat baharu yang sudah mencuba nasib sejak empat tahun lalu ini tetap mengatur langkah bagi mencari ruang dalam industri hiburan sebagai penyanyi.

Memilih nama yang dianggap unik, Bangsoda percaya, rezeki sentiasa ada bagi mereka yang tidak pernah jemu berusaha.

Dalam pertemuan bersama HIP di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, pemuda berusia 25 tahun ini berkata, dirinya nekad untuk terus mencuba membina kerjaya nyanyian, sekali gus memahat nama utuh dalam radar seni negara.

“Saya yakin dengan percubaan kali ini kerana akhirnya saya berpeluang tampil menjadi diri sendiri, bukannya seperti sebelum ini.

“Saya mahu meneruskan kerjaya nyanyian mengikut acuan yang saya bentuk sendiri,” katanya penuh bersemanga­t.

Ikut cita rasa diri

Tidak mahu menuding jari menyalahka­n sesiapa, Bangsoda mengakui sebelum ini langkahnya silap apabila muncul dengan genre muzik bukan daripada jiwanya.

Lantaran itu, beliau mahu bangkit semula dengan irama rock balada yang senada dengan jiwanya, selain percaya mampu mengisi ruang sebagai penyanyi di negara kita.

“Sebelum ini, lagu yang saya nyanyikan mengikut pandangan orang lain dan ia bagaikan percubaan bagi saya. Apabila tidak menjadi, saya kini mahu mengikut apa yang saya suka pula,” katanya.

Jenama baharu

Pemilik nama sebenar Ahmad Shukri Zakaria ini berkata, beliau enggan menoleh ke belakang dan mahu meneruskan impian selepas dilamar Harry Khalifah untuk menjadi artis di bawah naungannya.

Sebagai permulaan, beliau kini sedang mempromosi­kan lagu Rasa Cinta Ini dengan jenama baharu dirinya. Sebelum itu, beliau bergerak sebagai kumpulan Penyanyi duo dikenali sebagai #tag.

“Inilah diri saya yang sebenar dan inilah juga muzik saya. Saya berharap semua peminat dapat menyokong saya bersama penampilan baharu yang saya bawakan.

“Saya tahu ia bukan proses yang mudah apabila saya bertukar konsep dengan mendadak,” katanya.

Yakin kredibilit­i Harry Khalifah

Menurut Bangsoda, beliau yakin dengan bimbingan Harry, dirinya mampu mencuri peluang dalam industri seterusnya dikenali sebagai penyanyi yang membawa lagu rock balada.

Beliau berkata, perubahan daripada genre pop kepada lagu yang lebih serius itu juga didarap mampu menyerlahk­an kemampuan vokalnya.

“Saya tahu ramai yang akan mempersoal­kan kenapa saya seperti tiada identiti. Hakikatnya, kali ini saya diberikan peluang untuk menjadi diri sendiri dengan muzik yang sebati dengan jiwa saya,” katanya.

Bercerita lanjut, Bangsoda berkata, Harry menawarkan kerjasama dengannya sejak beliau menyertai program Johara Rockstar. Malah, komposer berkenaan juga serius mahu membantu menggilap bakatnya menerusi nasihat mengenai penjagaan suara, penampilan dan pelbagai aspek lain.

“Saya menyertai Padu Records sejak Oktober lalu dan memulakan rakaman lagu ini pada Disember. Lagu Rasa Cinta Ini dilancarka­n serentak dengan video muziknya pada pertengaha­n Januari lalu,” ujarnya.

Harap nama bawa tuah

Meminati Faizal Tahir, Bangsoda berkata, dirinya gembira kerana single itu juga sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio.

Ditanya mengenai bidang seni yang ingin diceburiny­a selain nyanyian, Bangsoda berkata, beliau bersedia mencuba apa saja peluang dihulurkan kepadanya.

“Mengapa tidak kalau ada tawaran? Saya akan menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Mengenai nama

Bangsoda pilihannya, beliau berkata, nama itu mula diterimany­a selepas memuat naik sekeping gambar dan diusik beberapa rakan mengenai susuk badannya yang semakin ‘sado’.

“Saya yakin nama ini akan memberikan rezeki kepada saya dan Harry juga setuju dengannya,” katanya.

 ?? [ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ] ?? Bangsoda kini bernaung di bawah syarikat milik Harry Khalifah.
[ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ] Bangsoda kini bernaung di bawah syarikat milik Harry Khalifah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia