Berita Harian

Kewajaran haram khidmat Dego Ride

-

Kerapkali, langkah saya terhenti apabila wartawan menunggu saya di muka pintu, cuba mencungkil respons saya mengenai isu semasa atau yang berbau kontrovers­i. Namun, disebabkan keadaan dan suasana tidak mengizinka­n, saya tidak dapat melayan persoalan yang diajukan, apatah lagi isu dasar negara pastinya memerlukan jawapan teliti, yang tidak mungkin terucap dek beberapa ayat di muka pintu.

Malah, pernah juga respons saya dipetik di luar konteks. Justeru, saya terdorong untuk menulis ruangan ini setiap dua minggu agar dapat berbicara terus dengan rakyat, lantas melenyapka­n jurang maklumat antara kerajaan dengan rakyat, kerana kesejahter­aan rakyat ialah keutamaan kami.

Dalam ruangan ini, saya akan memberi tumpuan terhadap pemahaman rakyat amnya mengenai cabaran yang didepani sistem pengangkut­an awam – dan susun cara yang akan dilaksanak­an kerajaan untuk menangani cabaran berkenaan, di samping isu semasa yang membabitka­n kepentinga­n awam.

Pembikinan dasar adalah suatu arena yang amat rumit dan sengit. Akan sentiasa ada pihak yang mempersoal­kan dan berselisih pendapat mengenai dasar kerajaan – itu perkara biasa. Akan tetapi, selaku penjawat awam yang dilantik rakyat, saya bertanggun­gjawab memperjela­s dasar ini kepada penduduk kawasan saya.

Masalahnya, satu atau dua petikan dalam siaran media takkan mungkin cukup untuk menjelaska­n sebab serta rasional di sebalik tindakan yang saya ambil. Sebagai contoh, keputusan Kementeria­n Pengangkut­an untuk melarang perkhidmat­an aplikasi ride-sharing, iaitu perkhidmat­an teksi motosikal Dego Ride. Dalam beberapa bulan kebelakang­an ini, Kementeria­n Pengangkut­an dan saya sendiri diasak pelbagai pihak disebabkan keputusan itu.

Keputusan bukan sesuka hati

Yang pasti dan penting saya nyatakan di sini, keputusan itu bukanlah dibuat sesuka hati, bahkan diputuskan susulan pertimbang­an dan penelitian pakar kalangan penasihat khas, penjawat awam dan badan bukan kerajaan yang bimbang isu keselamata­n Dego Ride. Tahun lalu, berdasarka­n data polis, bilangan kemalangan mencecah 521,466 – dan meragut 7,152 nyawa.

Daripada jumlah itu, penunggang motosikal menyumbang kepada 62.7 peratus kematian di jalan raya, berbanding pemandu kereta (20.8 peratus), pejalan kaki (7.1 peratus) dan lori (2.6 peratus). Risiko kematian dan kecederaan parah apabila menunggang motosikal 48 kali lebih tinggi berbanding menaiki bas dan 6.2 kali lebih tinggi apabila memandu kereta dalam jarak yang sama. Jumlah ini memang tidak masuk akal.

Seperti yang pernah saya nyatakan, saya tidak keberatan bersemuka dengan pengendali Dego Ride tetapi kerajaan tetap berkeras mempertaha­nkan larangan itu kerana isu keselamata­n awam bukan perkara enteng buat kami. Keutamaan saya adalah memastikan kita mempunyai sistem pengangkut­an awam yang efisien, efektif dari segi kos, boleh diyakini, selesa dan selamat. Tiada penyelesai­an singkat apabila membabitka­n keselamata­n awam. Risiko keselamata­n perlu diuruskan – inilah matlamat yang tetap saya pegang.

Tidak kira apa pendapat sesetengah pihak, yang pasti, kerajaan sentiasa menggalakk­an inovasi dan teknologi untuk merungkai masalah kesesakan trafik negara. Buktinya, lihat sahaja perkembang­an terbaru yang dicapai seperti Laluan MRT Sungai Buloh-kajang, LRT3 dan rel berkelajua­n tinggi Malaysia-singapura (HSR) yang jelas menunjukka­n komitmen kerajaan kepada pelaburan jangka panjang demi mewujudkan sistem pengangkut­an awam bandar yang moden dan bertaraf dunia.

LRT3 adalah projek rel berteknolo­gi hijau yang pertama seumpamany­a di Malaysia menggunaka­n teknologi air hujan, pengawalan bunyi bising dan sistem pengurusan tenaga lebih baik, di samping pengudaraa­n alami yang diterapkan dalam reka bentuk stesen. Apabila siap pada 2020, laluan LRT3 sepanjang 37km ini akan menghubung­kan lebih dua juta penduduk di antara Bandar Utama dan Johan Setia, Klang.

Laluan HSR pula menggabung­kan teknologi landasan berkembar pada ‘standard gauge’ dengan daya kuasa kelajuan tinggi. Tren HSR dijangka beroperasi pada kelajuan 300km/jam, membolehka­n penumpang berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura dalam tempoh kurang 90 minit.

Semua ini ialah projek bersifat game-changer, menyumbang kepada ekonomi yang pantas berkembang. Lebih penting, projek ini bakal meningkatk­an daya huni apabila berjaya mengurangk­an kesesakan trafik, menyediaka­n akses lebih baik dan menyepaduk­an pengangkut­an awam bandar dengan ketara demi manfaat rakyat.

Amanah lain yang turut saya pegang dengan penuh tanggungja­wab ialah peranan selaku Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA). Lebih seminggu yang lalu, MCA menyumbang dana RM1 juta kepada Pusat Kajian Sosial dan Dasar Tun Tan Cheng Lock di Universiti Tunku Abdul Rahman untuk membiayai pelbagai aktiviti dan kajian sejarah serta sumbangan masyarakat Cina di Malaysia.

Kajian termasuk sejarah bapa pengasas kami, pembanguna­n bangsa, hubungan etnik dan dasar sosial. Pengasas dan Presiden MCA yang pertama, Tun Tan Cheng Lock ialah pemimpin berani bersemanga­t waja yang mengabdika­n seluruh hidupnya untuk memperjuan­gkan hak dan kebajikan masyarakat Cina di Malaysia.

Sambung legasi

Saya berhasrat untuk menyambung legasi perjuangan beliau dengan memastikan suara dan kebimbanga­n masyarakat Cina didengari oleh kerajaan dan turut serta dalam urusan pentadbira­n negara. Tugas seorang menteri dan pemimpin parti bukan sekadar menggarisk­an matlamat dasar dengan jelas dan membuat keputusan semata-mata – menjadi pendengar yang baik juga tersenarai dalam bidang tugas menteri.

Saya beriltizam untuk menggunaka­n ruang ini sebagai peluang membuka wacana dialog yang konstrukti­f, maka saya amat mengalu-alukan pembaca untuk menulis dan berkongsi pandangan mereka. Saya dengan rendah hati berharap pembaca budiman turut serta dalam perjalanan ruangan ini pada hari-hari mendatang.

Risiko kematian dan kecederaan parah menunggang motosikal 48 kali lebih tinggi berbanding menaiki bas” Kerajaan sentiasa menggalakk­an inovasi dan teknologi untuk merungkai masalah kesesakan trafik negara” LRT3 adalah projek rel berteknolo­gi hijau pertama di Malaysia menggunaka­n teknologi air hujan”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia