Berita Harian

Suspek tembak lelaki di dahi kena tahan

-

Kajang: Dalam tempoh kurang 20 jam, polis dapat menyelesai­kan kes pembunuhan seorang lelaki yang ditembak di dahi di sebuah rumah di Jalan Suakasih 2/2, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Atan, 39, berasal dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ditemui terbaring di tingkat tiga rumah terbabit dalam keadaan lengkap berbaju Melayu putih dan bersongkok, manakala sepucuk pistol ada di tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata siasatan ke atas 13 individu, termasuk dua wanita yang ditahan susulan kejadian membawa kepada penyelesai­an kes itu dalam waktu singkat.

“Daripada 13 suspek yang ditahan itu, termasuk suspek utama yang juga tuan rumah kes pembunuhan itu berlaku.

“Siasatan ke atas lelaki berusia 54 tahun yang pada mulanya melaporkan kejadian itu dengan mendakwa mangsa menembak dirinya sendiri mendapati dia adalah suspek utama,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Bagaimanap­un, katanya, pihak polis masih mengumpulk­an segala bukti dan keterangan bagi melengkapk­an siasatan serta motif sebenar pembunuhan itu.

Hadiri perjumpaan

Terdahulu, mangsa datang ke rumah berkenaan pada jam 12 tengah malam untuk menghadiri satu perjumpaan bersama 11 individu lain, termasuk suspek.

Kediaman itu adalah rumah teres setingkat yang diubah suai menjadi tiga tingkat dan pada jam 3 pagi, suspek mendakwa mendengar bunyi letupan di tingkat tiga yang dijadikan ruang riadah sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring.

Suspek yang bekerja sebagai peniaga itu kemudian membuat laporan polis dan mendakwa mangsa menembak dirinya sendiri.

Namun, siasatan Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pakar Forensik Patologi Hospital Serdang di tempat kejadian mengesahka­n wujud keraguan dalam kematian si mati yang dikatakan membunuh diri.

Polis kemudian mengambil sampel untuk ujian sisa tembakan (GSR) ke atasnya serta 10 individu lain yang berada di rumah itu ketika kejadian. Mereka kemudian ditahan bersama dua wanita iaitu isteri tuan rumah serta pembantu rumahnya

Semua 13 suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia