Berita Harian

Suri rumah didakwa cederakan, bunuh 2 amah

Tertuduh mengaku tidak bersalah, minta dibicaraka­n

- Oleh Siti Sofia Md Nasir

Seorang suri rumah menangis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini, semalam, atas dua pertuduhan mencederak­an dan membunuh dua pembantu rumahnya.

Tertuduh, Chan Lay Lee, 42, yang memakai baju berwarna merah turut bertanya mengapa ramai jurugambar mahu merakamkan wajahnya.

Mengikut pertuduhan, Lay Lee didakwa sengaja mendatangk­an kecederaan parah kepada warga Kemboja, Anad, 22, menggunaka­n batang besi di kediaman No 35, Lebuhraya Jelutong, di sini, jam 11 pagi antara Julai 2016 sehingga 25 Februari lalu.

Tertuduh bagaimanap­un mengaku tidak bersalah dan meminta dibicaraka­n selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan. Irwan kemudian menetapkan 11 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan perubatan.

Tiada pengakuan direkod

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa membunuh seorang warga Indonesia, Jubedah, 38, di alamat sama antara jam 11 pagi hingga 4.45 petang pada 25 Februari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Bagi kesalahan itu, Lay Lee didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan. Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei hadapan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam A Rubenkumar manakala pendakwaan di Mahkamah Sesyen dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Idris sementara Nurul Fatin Hussin di Mahkamah Majistret.

 ?? [FOTO RAMDZAN MASIAM/BH] ?? Lay Lee diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Georgetown, semalam.
[FOTO RAMDZAN MASIAM/BH] Lay Lee diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Georgetown, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia