Berita Harian

13 penguat kuasa lindungi rumah urut direman

Suspek disyaki terima rasuah secara bulanan

- Oleh Adha Ghazali dan Norrasyida­h Arshad bhnews@bh.com.my

Seramai 13 penguat kuasa termasuk dua inspektor polis direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rasuah melindungi kegiatan haram premis urut di Selangor.

Majistret Siti Shakirah Mohtaruddi­n mengeluark­an perintah itu terhadap dua inspektor yang juga ketua balai polis, enam anggota polis, empat anggota bomba dan seorang pegawai Majlis Perbandara­n Kajang (MPKJ).

Mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a)(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.

Kelmarin, SPRM menahan penguat kuasa terbabit selepas risikan hampir tiga bulan.

Terima rasuah bulanan

Suspek disyaki menerima rasuah secara bulanan daripada pengusaha pusat urut antara RM300 hingga RM10,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana beroperasi tanpa lesen, menggajika­n pendatang asing tanpa izin serta mengabaika­n peraturan keselamata­n kebakaran.

Sementara itu, SRPM sedang mengesan seorang lagi kakitangan pihak berkuasa tempatan di Selangor bagi membantu siasatan kes melindungi pusat urut haram di negeri ini.

Sumber memberitah­u, ia susulan penahanan 13 penguat kuasa pelbagai jabatan yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan, kelmarin.

“Suspek berusia 30-an yang ada masalah disiplin dari segi kehadiran kerja, kini gagal dikesan,” kata sumber itu.

Di Alor Setar, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Yaakob Hassan, 48, dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dengan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua kesalahan rasuah pada 2012.

Berdasarka­n pertuduhan, Yaakob didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Jamat Harun, menerusi panggilan telefon ketika pengadu berada di rumahnya di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat di Langkawi, pada jam 7.40 malam 13 Oktober 2012.

Suapan itu sebagai upah kepada tertuduh membantu dalam urusan menutup siasatan polis ke atas anak lelaki pengadu, Mohd Shafiqq Affandi.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM2,000 daripada Ahmad Ridzwan Jamat bagi tujuan sama di bilik Ketua Balai di BBP Langkawi, jam 3 petang pada 14 Oktober 2012.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, Yaakob didakwa mengikut Seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 ?? [ FOTO INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA/BH ] ?? Seramai 13 anggota penguat kuasa terdiri daripada dua inspektor polis, enam anggota polis, empat anggota bomba dan seorang pegawai MPKJ dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam untuk direman bagi membantu siasatan kes rasuah lindungi kegiatan...
[ FOTO INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA/BH ] Seramai 13 anggota penguat kuasa terdiri daripada dua inspektor polis, enam anggota polis, empat anggota bomba dan seorang pegawai MPKJ dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam untuk direman bagi membantu siasatan kes rasuah lindungi kegiatan...
 ?? [FOTO INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA/BH] ?? Pegawai SPRM membawa 13 penguat kuasa pelbagai agensi ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.
[FOTO INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA/BH] Pegawai SPRM membawa 13 penguat kuasa pelbagai agensi ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia