Berita Harian

KHIDMAT PERCUMA HANTAR PESAKIT

Usahawan muda perkenal khidmat hantar pesakit ada masalah

- Oleh Suzianah Jiffar suzianah@bh.com.my Kota Kinabalu

Pernah melalui derita hidup susah, seorang usahawan muda menawarkan perkhidmat­an menghantar pesakit ke hospital atau klinik secara percuma di sekitar Kota Kinabalu, hingga ke Sepanggar, Tamparuli, Tuaran dan Beaufort.

Ahli perniagaan berkaitan pengurusan acara, Achmad Noorasyrul, 30, berkata beliau berbuat demikian sejak Disember tahun lalu dengan menyediaka­n sebuah van menerusi program dinamakan Projekvan1­0sen.

Pemegang diploma bidang pelanconga­n dari Universiti Teknologi MARA (UITM) Sarawak yang juga penyelaras projek itu berkata, keutamaan diberi kepada individu yang benar-benar memerlukan bantuan dan ada masalah untuk ke hospital atau klinik bagi mendapatka­n rawatan.

Katanya, masalah itu mungkin dalam aspek kewangan, tiada kenderaan untuk ke hospital kerajaan atau swasta dan klinik, atau tiada keluarga dapat membantu atas pelbagai faktor.

“Golongan sasaran kami tidak semestinya mereka yang hidup susah, malah kami membantu mereka yang boleh dikatakan mampu tetapi mungkin ada halangan tertentu.

“Kebanyakan pesakit yang dibantu adalah mereka yang perlu menjalani rawatan susulan seperti pesakit buah pinggang, barah dan kencing manis. Sekurang-kurangnya dengan adanya perkhidmat­an ini, saya dapat menabur bakti dan melakukan kerja amal kepada mereka yang memerlukan bantuan,” katanya kepada BH Plus.

Beli van RM12,000

Wartawan BH juga sempat menaiki van dibeli dengan harga RM12,000 ketika mengambil seorang pesakit buah pinggang berusia 64 tahun selepas menjalani rawatan susulan di hospital selama empat jam, sebelum dihantar ke rumah pesakit itu di Kampung Bantayan, Inanam.

Achmad turut dibantu seorang rakannya secara sukarela dalam melaksanak­an projek itu yang ideanya diambil daripada seorang ahli perniagaan di Kuala Lumpur iaitu Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Mr Potato yang menjalanka­n Projekvan1­0sen.

Dalam sehari, jumlah tertinggi pesakit yang pernah mendapatka­n khidmat van Achmad untuk dihantar ke hospital atau klinik adalah tiga orang dengan perkhidmat­an itu diketahui menerusi laman sosial Facebook, selain aplikasi Whatsapp.

Beliau berkata, sebagai orang yang pernah hidup susah, projek van itu adalah satu cara membalas bantuan yang diterimany­a pada masa lalu.

 ?? [FOTO MALAI ROSMAH TUAH/BH] ?? Achmad Noorasyrul membantu menghantar pesakit buah pinggang selepas menjalani rawatan susulan di hospital.
[FOTO MALAI ROSMAH TUAH/BH] Achmad Noorasyrul membantu menghantar pesakit buah pinggang selepas menjalani rawatan susulan di hospital.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia