Berita Harian

Wei boleh beraksi selagi berdaya: BAM

Sokongan penuh diberi kepada jaguh perseorang­an negara

- Oleh Helmi Talkah

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjanji akan terus memberi sokongan penuh kepada jaguh perseorang­an negara, Datuk Lee Chong Wei selagi dia mahu beraksi.

Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid, berkata badan induk itu tidak akan menentukan bila pemain nombor satu dunia berkenaan akan bersara sebaliknya terus memberi sokongan selagi dia mempunyai kemahuan tinggi untuk beraksi.

“Saya pernah katakan sebelum ini, dalam kes Chong Wei kita ambil secara berperingk­at. Tahun ini fokus Chong Wei adalah kejohanan utama iaitu Piala Sudirman (Mei) dan Kejohanan Dunia (Ogos). Selepas itu kita akan lihat semula program dia.

“Dia masih mempunyai kemahuan yang tinggi untuk bermain. Jadi kita tidak boleh nak tentukan bila masa dia nak bersara...jika kita rasakan dia boleh bermain dan dia masih ada keinginan untuk bermain di peringkat tertinggi, kita akan terus beri galakan dan sokongan,” kata Al Amin selepas menyambut ketibaan Chong Wei dari Birmingham di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Mampu kekal prestasi

Al Amin berkata demikian bagi mengulas mengenai hasrat Chong Wei untuk mempertaha­nkan gelaran Seluruh England yang dimenangin­ya kelmarin pada edisi tahun depan sekali gus memberi petanda awal yang dia tidak akan bersara selepas Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini.

Katanya, pemain berusia 35 tahun itu adalah atlet luar biasa dan boleh dijadikan sebagai contoh untuk pemain lain.

“Kita boleh kaji bagaimana dia pada usia 35 tahun masih mampu mengekalka­n prestasiny­a. Masih ada kemahuan dan disiplin tinggi. Apa yang penting dia masih mampu kekalkan kecergasan, ini perkara yang kita tidak boleh nafikan.

“Bagi saya usia hanyalah angka. Jika dia ada k emahuan tinggi dan bermotivas­i, saya percaya dia masih boleh bermain untuk beberapa tahun lagi,” kata Al Amin.

Tekanan tinggi

Sementara itu, Chong Wei menegaskan kejayaan menjuarai Seluruh England tidak boleh dijadikan kayu pengukur mengenai peluangnya menamatkan penantian meraih gelaran sulung Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini.

Pemain nombor satu dunia itu, berkata tekanan beraksi di Kejohanan Dunia adalah berbeza berbanding Seluruh England.

“Fokus utama saya tahun ini adalah Kejohanan Dunia dan beberapa kejohanan utama yang lain. Namun, untuk cakap sama ada saya boleh kekalkan prestasi seperti ini agak sukar.

“Kejohanan Dunia tekanannya lebih tinggi. Saya sudah memenangi Seluruh England sebanyak tiga kali sebelum ini tetapi Kejohanan Dunia saya belum pernah menang lagi... jadi tekanannya pasti tinggi.

“Saya akan bincang dengan jurulatih (Hendrawan dan Tey Seu Bock) bagaimana nak kurangkan tekanan ini,” kata Chong Wei ketika ditemui sebaik tiba dari Birmingham di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Chong Wei kini mengalihka­n fokusnya dalam misi memburu gelaran ke-12 Terbuka Malaysia yang akan berlangsun­g di Kuching, Sarawak bermula 4 hingga 9 April ini.

Katanya, dia sangat berharap dapat merealisas­ikan impian itu apa lagi beraksi di laman sendiri.

“Terbuka Malaysia sangat penting untuk saya dan saya akan buat persiapan yang terbaik memenangin­ya buat kali ke-12 tahun ini,” katanya.

Chong Wei akan berlepas ke New Delhi untuk aksi Terbuka India yang bermula 28 Mac hingga 2 April ini.

 ?? [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] ?? Chong Wei disambut isteri serta anak di KLIA, semalam.
[FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] Chong Wei disambut isteri serta anak di KLIA, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia