Berita Harian

Malaysia sedia anjur temasya

Keputusan bergantung kepada kerajaan jika sedia ganti Afrika Selatan selepas dilucutkan hak tuan rumah

- Oleh Sukhairi Thani

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersikap terbuka untuk menganjurk­an Sukan Komanwel 2022, menggantik­an Afrika Selatan sekiranya kerajaan berminat menjadi tuan rumah temasya itu.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya empat tahun sekali itu ialah pada 1998 dan ketika itu kontinjen negara berada di tangga keempat keseluruha­n dengan 10 pingat emas.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata, Malaysia mempunyai banyak kelebihan termasuk daripada sudut kemudahan dan venue pertanding­an seperti di Bandaraya Sukan di Bukit Jalil.

“Saya percaya Malaysia mempunyai keupayaan menganjurk­an Sukan Komanwel kerana kita pernah menjayakan­nya pada 1998,” kata Tunku Imran kepada media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, di sini, semalam.

Tunku Imran yakin Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah yang bagus untuk Sukan Komanwel kerana semua kemudahan yang dibina untuk Sukan SEA dan Bandaraya Sukan siap tidak lama lagi.

MOM tidak boleh buat keputusan

“Namun, kami di MOM tidak boleh membuat keputusan itu dan kami akan membawa perhatian ini kepada kerajaan.

“Dan ia semuanya bergantung kepada kehendak kerajaan sama ada mahu menganjurk­an lagi Sukan Komanwel selepas 1998,” katanya.

Kelmarin, Afrika Selatan dilucutkan hak tuan rumah Sukan Komanwel 2022 selepas gagal menepati tarikh akhir ditetapkan Persekutua­n Sukan Komanwel (CGF) berikutan masalah kewangan yang melanda negara itu.

CGF mendakwa Afrika Selatan, gagal memenuhi janji yang dinyatakan ketika membida untuk menjadi tuan rumah temasya itu dan usaha mencari pengganti sedang dijalankan.

Mengulas lanjut mengenai keupayaan dimiliki Malaysia, Tunku Imran berkata: “Ada beberapa perkara di mana kita mempunyai kelebihan. Antaranya, kedudukan Malaysia di mata CGF sangat tinggi dan kos penganjura­nnya mungkin mampu diserap, namun semuanya itu adalah atas persetujua­n kerajaan.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia