Berita Harian

Impak positif di Afrika Selatan

- Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Latihan dan pertanding­an di Afrika Selatan yang disertai skuad olahraga negara ternyata memberi impak positif buat mereka menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Berikutan pencapaian yang memberangs­angkan itu, tidak mustahil ramai atlet boleh melakukan kejutan pada temasya di Kuala Lumpur itu nanti.

Antaranya Zaidatul Husniah Zulkifli yang melakar kepantasan 11.45s di Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfonte­in sekali gus memadamkan rekod berusia 24 tahun, 11.50s milik G Shanti yang dicipta pada aksi Pra-sukan SEA, Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.

Pelari 400m kebangsaan, Muhammad Azam Masri pula mencatat kepantasan 10.22 saat (s) dalam acara pecut 100m lelaki di kejohanan sama sekali gus menjadi pelari kedua terpantas di negara ini selepas rakan seperjuang­an, Khairul Hafiz Jantan (10.18s).

“Sejak berada di sini, saya dapat lihat atlet semakin baik dan menunjukka­n impak positif malah mereka lebih fokus.

“Selain Zaidatul mencipta rekod baharu acara 100m wanita, Muhammad Azam mampu lakukan catatan baik dalam acara 100m di ASA Speed Series 2 walaupun dia sebenarnya adalah atlet 400m.

Pantau latihan

“Namun, saya akan sentiasa memantau latihan Azam sebelum membuat keputusan sama ada untuk dia terus berlari dalam acara 400m atau 100m,” kata jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim.

Mengulas mengenai Kejohanan ASA Speed Series 4, Germiston pada Rabu minggu depan, Mohd Poad berkata atlet bimbingann­ya akan menyertai acara masing-masing iaitu pecut 100m, 400m dan 4x100m.

Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz dan rakan, Muhammad Haiqal Hanafi akan menyertai acara 100m, manakala acara 400m akan disertai oleh Muhammad Azam dan Badrul Hisyam Abdul Manap.

Badrul Hisyam melakar rekod peribadi terbaik 400m di AGN League, Pretoria dengan kepantasan 47.62s pada 4 Mac lalu, selepas beberapa tahun tidak bersaing dalam kejohanan kompetitif.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia