Berita Harian

Bernhardt bimbang ramai pemain skuad B-22 cedera

-

Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Frank Bernhardt sudah bersedia dengan pelbagai perancanga­n bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini jika ramai pemain tonggaknya mengalami kecederaan ketika beraksi bersama pasukan masing-masing di Liga Malaysia (Liga M).

Beliau berkata, masalah kecederaan adalah satu-satunya perkara yang amat dibimbangi kerana jika pemain tercedera sudah pasti beliau perlu mencari pengganti yang memiliki kualiti yang sama dengan mereka.

“Mereka ini adalah pemain penting dan menjadi nadi kepada pasukan B-22 negara. Namun, jika keadaan tidak mengizinka­n, saya perlu akur dan seharusnya memikirkan langkah lain yang sesuai,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Skuad B-22 negara sudah mula menjalani sesi latihan pertama kelmarin, namun sembilan pemain belum melaporkan diri termasuk tiga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli; pertahanan tengah, Dominic Tan dan penyerang, Safawai Rasid kerana berdepan cabaran Global FC, semalam.

Persiapan singkat

Tiga pemain lain, Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah), Shahrul Hakim (Kelantan) dan S Kumaahran (Pulau Pinang) pula tidak dapat menjalani latihan kerana mengalami kecederaan.

Mengulas lanjut kesediaan skuadnya untuk bagi menghadapi Kejohanan B-23 Piala Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadual berlangsun­g dari 20 hingga 28 Mac ini, Bernhardt menjelaska­n tempoh persiapan yang singkat tidak mendatangk­an masalah untuknya.

“Kita masih ada masa mencukupi untuk membuat persiapan tetapi kami akan lebih fokus kepada taktikal supaya dapat memperagak­an permainan yang lebih kemas.

“Kita juga akan menitikber­atkan mengenai latihan kekuatan dan berdasarka­n latihan yang sudah dilakukan sejak semalam (kelmarin), pemain dapat menerimany­a dengan baik,” katanya.

Aksi antarabang­sa terakhir yang diharungi anak buah Bernhardt sebelum ini menyaksika­n mereka tewas 0-3 di tangan skuad B-22 Vietnam dan terikat tanpa jaringan menentang Filipina.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia