Berita Harian

PETRONAS komited bina bekalan gas berpaip

Harga pasaran LNG, jaminan permintaan pastikan pulangan pelaburan

- Oleh Nurhayati Abllah dan Che Wan Badrul Alias

PETRONAS meminta harga gas bersubsidi untuk industri huluan dan hiliran yang menggunaka­n bekalan gas berpaip terus dinaikkan secara berjadual sehingga mencapai harga pasaran.

Ketika ini, jadual kenaikan harga gas bersubsidi untuk penjanaan elektrik dilaksanak­an pada RM1.50/MMBTU bagi setiap enam bulan yang mana harga terkini ditetapkan kerajaan sejak Januari 2017 lalu berada pada RM21.20/MMBTU.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata ia adalah satu daripada permintaan PETRONAS kepada kerajaan untuk menjamin kemampanan rantaian bekalan gas berpaip untuk industri, khususnya bagi sektor jana kuasa elektrik.

Pengeluar LNG ketiga terbesar dunia

Katanya, selain kenaikan harga, sektor tenaga juga perlu memberi komitmen untuk pembelian minimum sebagai jaminan permintaan dan memastikan pelaburan PETRONAS membina sistem pembekalan gas mampu menjana pulangan.

“PETRONAS kini adalah pengeluar gas asli cecair (LNG) ketiga terbesar dunia dan sudah menjadi agenda besar kami untuk menjadi pembekal yang mampan dan berdaya saing dalam mengembang­kan perniagaan.

“Namun PETRONAS perlu memastikan beberapa perkara dalam menjamin pelaburan dalam segmen huluan, loji gas dan sistem paip penyaluran gas domestik memberikan pulangan relevan.

“Kami berharap kenaikan RM1.50/MMBTU bagi harga gas setiap enam bulan perlu diteruskan sehingga mencapai paras pasaran; dan perlulah ada sekuriti bagi permintaan iaitu paras komitmen minimum daripada sektor tenaga.

“Ini bertujuan supaya tidak berlaku turun naik melampau dalam permintaan dan pelaburan kumpulan dapat digunakan secara optimum,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Berhubung perkembang­an projek Kanada lain, beliau berkata, rizab gas asli lebih 20 trilion kaki persegi (tcf) di Kanada akan menjadi rizab kedua terbesar dimiliki kumpulan selepas Malaysia dengan rizab mencecah 102 tcf ketika ini.

Katanya, kerana itu pihaknya sangat berminat untuk menjana pendapatan daripada rizab terbabit dengan memastikan ia dilaksanak­an pada masa dan kos yang tepat selain memastikan loji LNG yang akan dibangunka­n lebih berdaya saing berbanding loji milik Amerika Utara.

Mengulas sama ada PETRONAS akan meneruskan usaha sama projek mega seperti kerjasama Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco), beliau berkata keputusan kerjasama seperti itu hanya akan diputuskan pada masa depan sekiranya termanya memanfaatk­an kedua-dua pihak.

 ?? [ FOTO HIASAN ??
[ FOTO HIASAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia