Berita Harian

Hab IOSCO Kuala Lumpur maju pasaran modal serantau

Cerminkan komitmen SC mudah cara kerjasama rentas sempadan

- Oleh Mahanum Abdul Aziz, Mohd Zaky Zainuddin dan Hazwan Faisal Mohamad

Hab Asia Pasifik pertama Pertubuhan Antarabang­sa Suruhanjay­a Sekuriti (IOSCO) yang dilancarka­n di Kuala Lumpur semalam dijangka beroperasi sepenuhnya pertengaha­n tahun ini.

Pengerusi Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh, berkata hab serantau di Kuala Lumpur itu adalah pejabat pertama IOSCO di luar ibu pejabatnya di Madrid, Sepanyol.

Beliau berkata, hab berkenaan dijangka memainkan peranan penting dalam membantu membangunk­an pasaran modal serantau, merapatkan jurang kawal selia dan mengukuhka­n pelaksanaa­n keseluruha­n standard global di rantau itu.

“Hab ini akan menjalanka­n program pembinaan keupayaan, menyediaka­n bantuan teknikal dan pelaksanaa­n inisiatif yang bertumpu kepada pengawal seliaan di Asia Pasifik,” katanya selepas pelancaran hab itu di Kuala Lumpur, semalam.

Ranjit menyifatka­n, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah hab serantau pertama IOSCO itu juga adalah pengiktira­fan penting ter- hadap kualiti kerangka kawal selia yang baik, infrastruk­tur pasaran kukuh dan standard tadbir urus mantap di negara ini.

Beliau berkata, dengan adanya hab itu, ia mengukuhka­n lagi usaha negara dalam membangunk­an pasaran modal yang berkualiti tinggi dan dikawal selia dengan baik.

Hab itu, katanya, akan mengeratka­n keberkaita­n dan keterangku­man dalam rantau Asia Pasifik, dan mencermink­an komitmen SC untuk memudahcar­akan kerjasama rentas sempadan.

Wujudkan kerjasama

“Kami teruja terhadap prospek dan potensi yang ditawarkan. Ia juga membolehka­n industri untuk memanfaatk­an kewujudan hab ini di sini dan memacu peluang pasaran modal di rantau ini,” katanya.

Ranjit yang juga Naib Pengerusi Lembaga IOSCO berkata, IOSCO organisasi kawal selia global dan badan penentu piawaian antarabang­sa pengawal seliaan pasaran modal yang mengawasi pasaran bernilai lebih AS$140 trilion (RM623 trilion).

Beliau berkata, pertubuhan itu bertanggun­gjawab mewujudkan kerjasama erat merentasi sempadan dan kepakaran dalam kalangan rakan pengawal selia domestik serta antarabang­sa dalam membangunk­an pasaran modal Asia Pasifik dan kapasitiny­a.

Hab Asia Pasifik pertama IOSCO itu dilancarka­n Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Persidanga­n Kawal Selia Pasaran Pesat Membangun Global 2017 (GEMRC).

Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga IOSCO dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjay­a Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong, Ashley Alder.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia