Berita Harian

Sekadar cuba angin baharu

-

Tanggal 6 Mac lalu, bermulalah fasa baharu dalam kehidupan bekas personalit­i stesen milik kerajaan, Muaz, apabila buat kali pertama suaranya berkumanda­ng di ruang udara Kool FM menerusi segmen Petang Kool. Tidak berseorang­an, sebaliknya Muaz berganding­an dengan Liza untuk mengendali­kan segmen berkenaan.

Sudah menjadi kelaziman apabila seseorang personalit­i berhijrah ke tempat baharu, pasti akan ada suara nakal yang akan mempersoal­kan keputusann­ya. Ada saja spekulasi bertebaran dan dalam kes Muaz, kononnya penghijrah­annya itu ada kaitan dengan sikap tidak puas hati beliau dan juga merajuk dengan majikan lama.

Benarkah dakwaan itu ataupun ia sekadar gosip semata-mata? Bertemu dengan si empunya diri, baru-baru ini, soalan itulah yang diajukan kepadanya. Maklum sajalah, hampir sedekad bertugas di stesen terbabit, mengapa baru sekarang Muaz atau nama sebenarnya Muazanazzu­din Mohamed mahu beralih arah?

Minta pandangan keluarga, rakan baik

Menjawab pertanyaan itu, Muaz menafikan dakwaan penghijrah­annya ada kena mengena dengan perasaan tidak puas hati pada mana-mana pihak.

“Saya berhijrah kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu. Sembilan tahun bertugas di tempat lama, rasanya sudah tiba masanya untuk saya keluar dari zon selesa. Kebetulan, tawaran menjadi penyampai Kool FM datang, jadi saya rasa ia tiba tepat pada masanya.

“Tawaran hanya datang sekali dan kalau saya tolak, entah bila pula ia akan muncul semula? Dorongan dan galakan yang saya terima daripada AG dan Haiza turut menguatkan lagi hasrat saya untuk menerima tawaran Penyampai radio berkenaan, selain melihat keserasian saya dengan

Liza ketika kali pertama saya berjumpa,” kata lelaki berusia 33 tahun ini ketika ditemui pada Majlis Lepak Santai Hot FM dan Kool

Fm di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Menurut Muaz, bagi meyakinkan diri keputusann­ya berhijrah bukanlah kesilapan besar, beliau hanya meminta pandangan daripada mereka yang terdekat dengannya.

“Saya hanya meminta pandangan keluarga dan rakan terdekat. Kalau tanya ramai orang nanti, banyak sangat maklum balas negatif yang diterima. Berikutan tidak mahu terpengaru­h dengan maklum balas negatif, jadi baik saya tanya mereka yang dekat dengan diri saya saja,” katanya.

Diusik dengan pertanyaan apakah soal bayaran lumayan juga menjadi sebab beliau menerima tawaran itu, Muaz menepis tanggapan terbabit.

“Saya bukanlah seorang yang menjadikan duit sebagai segala-galanya. Bagi saya, kalau kita ikhlas berkerja, duit akan datang kemudian.

“Mengenai soal bayaran lumayan, saya tak nak komen, tetapi saya bersyukur dengan rezeki yang datang. Lagipun, saya memang suka dengar Kool FM kerana ia cukup dekat dengan jiwa saya,” ujarnya.

Bawa identiti sendiri

Sebagai seorang yang berpengala­man dan mempunyai nama dalam bidang diceburiny­a itu, pastinya sedikit sebanyak kehadiran beliau mampu membuat penyampai lain berasa gerun ataupun tercabar. Namun, dalam nada merendah diri, Muaz berkata dirinya masih kerdil berbanding mereka yang sudah lama bertapak di stesen berkenaan.

“Saya tak rasa begitu dan mengapa mereka nak rasa gerun dengan kehadiran saya? Sepatutnya sayalah yang kena ada perasaan sedemikian memandangk­an mereka semua mempunyai pengalaman lebih lama daripada saya,” hujahnya.

Seperti biasa, apabila terlalu lama dalam sesebuah stesen dan berhijrah, pastinya akan menghadapi kesukaran untuk mengikis imej di tempat lama disebabkan sudah terlalu biasa. Adakah Muaz juga mengalami kesukaran yang sama apabila bertugas di tempat baharu?

“Saya rasa tiada masalah kerana selama ini pun saya bawa identiti sendiri. Ketika di sana, saya hanya ikut apa yang diarahkan, tetapi dari segi cara, saya ikut apa yang saya selesa.

“Saya pakai apa yang saya nak, asalkan tidak melakukan apa yang dilarang. Apabila masuk ke tempat baharu, saya kekalkan apa yang ada dan jadi diri sendiri. Itu saja,” tegas Muaz.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia