Ketangkasan anggota elit buka segmen maritim LIMA’17
pasukan elit agensi pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan negara ditampilkan pada pelancaran segmen maritim LIMA 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, petang semalam
Agensi berkenaan membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan.
Mendebarkan pengunjung
Gabungan ketangkasan anggota setiap pasukan yang dipersembahkan dalam demonstrasi, nyata mendebarkan ratusan pengunjung yang menghadiri majlis pelancaran di Resorts World di sini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim.
Pelancaran dimulakan dengan misi pencarian sebuah kotak mengandungi kunci menggunakan peralatan canggih TLDM dan Pasukan Khas Laut (PASKAL).
Najib kemudian melawat ruang pameran segmen maritim LIMA 2017 dan merasmikan majlis menamakan kapal KM Pekan yang dihadiahkan kepada APMM oleh Kerajaan Jepun.