Berita Harian

Kertas siasatan lengkap diserah kali kedua

-

Georgetown: Kertas siasatan lengkap mengenai kes remaja wanita berusia 19 tahun yang memandu melawan arus sehingga menyebabka­n seorang lelaki maut, Selasa lalu, diserahkan buat kali kedua kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, polis akan menunggu jawapan bagi memastikan sama ada kes berkenaan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau kekal seperti pendakwaan sebelumnya, iaitu mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

“Prosedur siasatan ini meliputi pelbagai aspek termasuk mengumpulk­an segala bukti berkaitan termasuk pengesahan kad orang kurang upaya (OKU) yang dimiliki suspek.

Ambil masa

“Siasatan ini juga membabitka­n semua keterangan, termasuk rakaman video saksi kejadian. Ini semua mengambil masa dan perlu disiapkan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tolak andaian

Ghee Lye turut menolak andaian kononnya polis sengaja melengahka­n siasatan kes berkenaan sehingga mengundang pelbagai spekulasi.

Katanya, semua siasatan memerlukan masa dan polis tidak pernah melengahka­n siasatan, termasukla­h menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia berhubung ujian darah suspek.

Dalam kemalangan membabitka­n enam kenderaan di Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Permatang Pauh, Mohamad Fandi Rosli, 26, maut selepas kenderaann­ya dirempuh laju Ng Pei Ven, 19, yang memandu melawan arus.

Pei Ven turut didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Jumaat lalu mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, namun mengaku tidak bersalah.

Dia kemudianny­a dibebaskan dengan jaminan RM5,000 bersama dua penjamin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia