Berita Harian

Kelantan akui gagal tunai janji di Lembah Sireh

-

Kota Bharu: Kerajaan negeri mengakui terdapat kesilapan dalam perjanjian dengan sebuah syarikat pemaju bagi membangunk­an Lembah Sireh sehingga ia masih gagal dilaksanak­an.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata akibat kesilapan teknikal itu, tujuh janji bagi membangunk­an Lembah Sireh seperti mini stadium, stadium wanita dan jambatan, tidak dapat dilaksanak­an.

“Kami terpaksa mengubah perjanjian awal (dibuat pada 2002) berikutan beberapa isu berbangkit termasuk kerajaan negeri sepatutnya menyerahka­n tanah di kawasan berkenaan seluas 400 hektar kepada Liziz Standaco Sdn Bhd, namun hanya dapat menyerahka­n 280 hektar.

“Hasil beberapa kali perbincang­an dibuat, pihak pemaju bersetuju memberikan pelbagai sumbangan bernilai lebih RM148 juta selain tambahan wang tunai sebanyak RM28 juta,” katanya.

BN-KOK Lanas pertikai projek

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukaka­n Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-KOK Lanas) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam, yang mempertika­ikan projek di Lembah Sireh apabila gagal menunaikan janji yang dibuat.

Sementara itu, Md Alwi ketika ditemui di luar dewan berkata, kerajaan negeri perlu memberi penjelasan lanjut kenapa gagal menyerahka­n tanah seluas 400 hektar seperti perjanjian awal yang dibuat dengan syarikat berkenaan.

Tarik lesen pengusaha pasir jual tak ikut harga

Dalam perkembang­an lain, Pengerusi Jawatankua­sa Kerjaraya, Infrastruk­tur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad, berkata pengusaha pasir di Kelantan yang gagal menjual pasir mengikut harga ditetapkan kerajaan negeri, akan dikenakan tindakan tegas termasuk lesen ditarik.

Menjawab soalan tambahan dikemukaka­n Datuk Mohd Adhan Kecik (BN- Bukit Bunga) mengenai harga pasir yang naik secara mendadak, Hanifa berkata, pengusaha pasir menaikkan harga selepas bencana banjir akhir tahun lalu, menyebabka­n timbul keresahan kepada masyarakat.

Katanya, hasil perbincang­an dan siasatan dilakukan bersama pengusaha pasir, memutuskan kesemua 77 pengusaha pasir di Kelantan perlu menjual dengan harga ditetapkan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Hanifa yang juga ADUN Pengkalan Pasir meminta masyarakat tampil membuat aduan jika pengusaha pasir gagal mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

 ??  ?? Md Alwi Che Ahmad
Md Alwi Che Ahmad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia