Berita Harian

Tak ada calon tarik diri: Hamidin

Semua 38 calon termasuk Tunku Ismail, Annuar kekal pendirian bertanding, Sabtu ini

- Oleh Syafiq Aznan

Semua calon yang mengesahka­n pencalonan merebut jawatan tertinggi pada Kongres Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Ke-53, Sabtu ini kekal dengan pendirian untuk bertanding.

Perkembang­an itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menjelaska­n jumlah calon yang bertanding bagi merebut jawatan tertinggi badan induk itu masih kekal dengan 38 calon.

“Tiada apa-apa perubahan dalam bilangan calon yang akan bertanding. Semua calon meneruskan hasrat untuk bertanding.

“Buat masa ini, saya tidak ada makluman mengenai ada calon yang menarik diri. Saya juga sehingga kini tidak menerima penarikan diri secara rasmi daripada mana-mana calon yang mengesahka­n pencalonan mereka untuk bertanding,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Perebutan jawatan Presiden FAM dilihat menjadi detik paling ditunggu peminat bola sepak tempatan selepas berlaku pertanding­an satu lawan satu antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.

Persiapan berjalan lancar

Bagi jawatan Timbalan Presiden FAM, pertembung­an tiga penjuru membabitka­n penyandang, Datuk Seri Afandi Hamzah yang dicabar bekas Naib Presiden FAM yang kembali bertanding pada kongres kali ini, Datuk Seri Subahan Kamal dan EXCO FAM yang dikatakan calon pilihan, Datuk Yusoff Mahadi.

Sementara itu, 17 lagi calon bakal merebut lapan kerusi bagi EXCO FAM dengan Timbalan Pengerusi Jawatankua­sa Status FAM, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin menjadi satu-satunya calon yang mempertaha­nkan kerusinya dan tujuh calon wanita bertanding untuk mengisi dua kerusi EXCO Wanita.

“Saya tidak boleh memaksa mana-mana calon untuk menarik diri kerana ia di luar bidang kuasa saya. Apapun, saya jangka semua calon yang dinyatakan sebelum ini akan terus bertanding pada kongres Sabtu ini,” kata Hamidin.

Hamidin berkata, persiapan bagi majlis terbabit berjalan lancar dengan persediaan sudah memasuki tahap 50 peratus sehingga kini.

“Kita masih ada tiga hari lagi menjelang kongres, jadi kita yakin mampu menyiapkan semuanya bagi memastikan prestij majlis ini dapat dikekalkan dan berlangsun­g tanpa sebarang masalah,” katanya.

Kongres Pemilihan badan induk bola sepak negara itu terpaksa diadakan setahun lebih awal berbanding tarikh asalnya selepas penyandang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan selaku peneraju badan induk itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia